Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tiada bukti kaitkan Najib kes pembunuhan berprofil tinggi'

Sumber polis memaklumkan bahawa polis setakat ini tidak mempunyai sebarang bukti yang mengaitkan bekas perdana menteri Najib Razak dengan beberapa kes pembunuhan berprofil tinggi.

Ahad lalu, Najib dalam kenyataan di Facebook mempersoalkan alasan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang masih tidak membuka semua siasatan ke atasnya berhubung kes berkenaan.

Najib bertegas untuk disiasat atas semua tuduhan pembunuhan selepas mendakwa bahawa sejak 10 tahun lalu, jentera propaganda DAP menuduh beliau membunh Altantuya Shaariibuu, Kevin Morais, Hussan Najadi, Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani.

Oktober tahun lalu, pembantu Najib membuat laporan polis agar siasatan dibuka semula.

Bagaimanapun, Ketua Polis Sentul S Shanmugamoorthy Chinniah berkata tiada apa-apa yang boleh disiasat dari laporan polis berkenaan dan menyifatkan ia sebagai isu awam.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa sekiranya terdapat bukti yang mengaitkan bekas presiden Umno itu, polis akan menyiasat Najib meski tiada laporan polis dibuat.

"Tiada kertas siasatan dibuka mengaitkan Najib. Dan tidak perlu buat laporan polis untuk siasat beliau. Jika ada perkembangan baru yang mengaitkannya dengan sebarang kes, kita akan siasat meski tiada laporan polis.

"Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat, sila tampil," katanya.

Richard Morais yang merupakan adik lelaki Kevin Morais, sebelum ini menggesa orang ramai berhenti mengaitkan Najib dengan pembunuhan abangnya.

"Kita sembahyang punya orang. Takkan nak sokong barang yang tak betul. Ini kebenaran. Dia (Najib) tidak terlibat sama sekali, saya boleh jamin.

"Bukan nak cakap saya sokong dia, masalahnya kes bunuh ni tak ada kena mengena dengan dia," katanya kepada Malaysiakini.

Kevin Morais, merupakan timbalan pendakwa raya yang bertugas dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mati dibunuh pada September 2015 selepas dilaporkan hilang pada 4 September dan mayatnya ditemui disimen dalam tong dua minggu lepas itu.

Susulan itu, terdapat tanggapan pembunuhan itu mempunyai kaitan dengan kes 1MDB dan skandal SRC International.

Seorang lagi adik mendiang, Charles Morais, mendakwa abangnya mendraf kertas dakwaan terhadap Najib sebelum dibunuh, namun SPRM menafikan Kevin Morais terlibat dalam siasatan 1MDB.

Sementara itu, Richard menambah bahawa Najib menghantar bunga dalam upacara persemadian Kevin, selain merupakan individu yang mencadangkan agar Kevin diberikan gelaran Datuk.

"Saya tidak kata dia malaikat, tapi kes ini tak ada kaitan dengan Najib," katanya kepada Malaysiakini.

Richard turut menyatakan keyakinan bahawa pihak berkuasa dan mahkamah akan mengendalikan kes pembunuhan berkenaan.

Ravi Chandaran, R Dinishwaran, AK Thinesh Kumar, M Vishwanath, S Nimalan dan Kunaseegaran tidak mengaku bersalah atas dakwaan membunuh Kevin Morais ketika mendiang dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul, ke No 1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi hingga 8 malam pada 4 Sept 2015.

Sesi perbicaraan seterusnya akan disambung pada 21 Mac.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS