Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak Indira didakwa tak pernah ke sekolah sejak 11 tahun lalu
Diterbitkan:  Feb 22, 2019 7:04 PM
Dikemaskini: 11:04 AM

NGO yang dinamakan Indira Gandhi Action Team (Ingat) akan membuat "pendedahan menggemparkan" pada sidang media di Petaling Jaya, esok.

Bercakap kepada Malaysiakini, Pengerusi Ingat Arun Dorasamy berkata salah satu pendedahan berhubung kehilangan anak Indira, Prasana Diksa.

"Berdasarkan maklumat yang kami peroleh, kami tahu Prasana tidak pernah ke sekolah sejak 11 tahun lalu. Tak pernah datang walau sehari pun.

"Kami tak tahu pun jika dia masih hidup," katanya.

Bagaimanapun, Arun enggan mengulas lanjut dan berkata Ingat dan Indira akan membuat lebih banyak pendedahan berhubung perkara itu pada sidang media.

Prasana masih bayi ketika diambil bapanya, Muhammad Riduan Abdullah, seorang muallaf. Dia juga secara sepihak menukar agama Prasana dan dua adik-beradiknya kepada Islam pada 2009.

Ia kemudian membawa kepada pertikaian mahkamah yang panjang dengan bekas isterinya. Mahkamah Tinggi mengeluarkan waran tangkap kepada Riduan pada 2014.

Bagaimanapun, polis belum berjaya mengesannya.

Nov lalu, Indira menulis surat terbuka kepada Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) merayu untuk mendengar perkhabaran terbaru anaknya.

"Di mana mereka? Adakah Prasana masih hidup? Adakah dia masih sihat? Sebagai ibu, saya tidak tahu semua ini sedangkan saya berhak tahu. Kenapa? Kerana pihak berkuasa belum beritahu saya apa-apa tentangnya.

"Malaysia baru saya adalah apabila anak saya dipulangkan. Jadi kepada ketua polis negara dan kerajaan PH, berapa lama lagi?" kata Indira dalam suratnya.

Dalam surat jemputan media petang tadi, Ingat berkata, NGO berkenaan terdiri daripada Malaysian Hindu Sangam, Hindu Conversion Action Team dan Pertubuhan Hindu Agamam Ani Malaysia.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS