'PAS, Umno wajar tak bertembung dalam PRU kerana sudah bermukah'
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyifatkan hasrat PAS dan Umno untuk tidak lagi bertembung dalam persaingan tiga penjuru dalam pilihan raya sebagai wajar memandangkan kedua-dua parti sudah "bermukah".
"Baguslah ada cita-cita tinggi begitu. Lumrahnya, bila dah 'bernikah' memang kena dua penjuru dan perlu juga kesetiaan.
"Masa 'bermukah' hanya perlu dua penjuru sahaja tapi mungkin tidak perlu sangat kesetiaan," katanya melalui kenyataan di Facebook hari ini.
Hanipa membuat kenyataan itu sebagai merujuk laporan Malaysiakini yang memetik Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi yang memaklumkan partinya dan Umno akan membentuk jawatankuasa bagi memastikan tiada lagi pertembungan tiga penjuru melibatkan kedua-dua parti itu di masa akan datang.
Muhammad Khalil dalam ceramah di Semenyih semalam turut berkata dengan pendekatan itu, PAS dan Umno dapat menawan bukan saja Selangor tapi juga negeri-negeri lain dan seterusnya mengambil alih kerajaan.
Kenyataan Muhammad Khalil turut disokong oleh Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang berucap di majlis sama.
Jelas Asyraf, dalam pertemuan yang diadakan minggu lepas, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, meminta Umno mempercepatkan usaha memilih ahli jawatankuasa yang terdiri daripada sembilan ahli bagi dari parti masing-masing.
Mengulas lanjut, Hanipa yang juga anggota parlimen Sepang memberi beberapa andaian sekiranya kerjasama PAS dan Umno membuahkan hasil.
Antaranya, kata ialah, kedua-dua parti itu akan membuat manifesto menggugurkan pendakwaan yang dibuat kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Selain itu, Hanipa juga mengandaikan ahli perniagaan Low taek Jho atau Jho Low yang kini dalam buruan pihak berkuasa akan tinggal di luar negara dengan selesa dan aman.
"Jika dia balik pun janganlah tangkap dia, lantiklah dia sebagai Penasihat Kewangan. Mintalah nasihat dia untuk tubuh 1MDB 2.0 yang syariah compliant macam bohong syariah compliant itu.
"Dan jangan lupa segala beg tangan berjenama yang dirampas , pulangkan balik ke pangkuan tuan punya," katanya.

