Malaysiakini BERITA

Mahkamah tolak saman pengundi hentikan PRK Semenyih

Alyaa Alhadjri  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PRK SEMENYIH l Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak saman yang difailkan seorang pengundi bagi menghentikan Suruhanjaya Pilihan Raya daripada mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih pada 2 Mac ini.

Pengundi itu, Puan Seri Sabariah Mohd Shariff, 58, selaku plaintif turut menamakan Pengerusi SPR Azhar Azizan @ Harun serta Kerajaan Persekutuan sebagai defendan kedua dan ketiga.

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Sabariah memberitahu pemberita Hakim SM Komathy memutuskan mahkamah tinggi terikat dengan keputusan duluan yang dibuat Mahkamah Rayuan pada 2017.

"Hakim mahkamah tinggi sebentar tadi membuat keputusan membuat keputusan menolak permohonan saman pemula yang telah dibuat oleh Puan Seri Sabariah Mohd Sharif dengan memberikan alasan bahwa yang pertamanya mahkamah terikat dengan keputusan tahun 2017 dalam kes Nurul Izzah Anwar.

"Dalam kes itu Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa merujuk kepada Seksyen 33C Perlembagaan Persekutuan Jadual 13 bahawa fungsi SPR tidak terjejas dengan kekurangan anggotanya. Oleh itu mahkamah (hari ini) menyatakan bahawa mahkamah tidak boleh beralih dari keputusan duluan yang telah dibuat oleh Mahkamah Rayuan berkenaan.

"Oleh itu mahkamah menyatakan bahawa walaupun sendiri (pengerusi SPR) Azhar Azizan Harun boleh menjalankan fungsi-fungsi SPR," kata Mohd Khairul Azam.

Dalam tuntutan saman yang difailkan pada 8 Februari lepas, plaintif memohon perintah deklarasi bahawa entiti SPR tidak wujud dan tidak sah dan atau tidak berperlembagaan selepas 1 Januri lepas menurut Fasal 114 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Plaintif juga memohon perintah deklarasi bahawa mesyuarat SPR bertarikh 18 Januari lepas yang dipengerusikan oleh Azhar seorang diri tanpa keanggotaan timbalan pengerusi dan lima anggota SPR yang lain adalah tidak sah, batal dan melanggar Fasal sama, serta kesemua keputusan yang dibuat dalam mesyuarat itu tidak sah, batal dan tidak boleh dikuatkuasakan oleh Azhar.

Enam bekas anggota SPR itu ialah Othman Mahmood (bekas timbalan pengerusi SPR), Md Yusop Mansor, Abdul Aziz Khalidin, Sulaiman Narawi, K Bala Singam dan Leo Chong Cheong.

Selain itu, Sabariah memohon injunksi larangan untuk menghalang defendan kedua (Azhar) daripada bermesyuarat dan atau meneruskan, melaksanakan, menjalankan atau sebarang tindakan atau perbuatan mengendalikan atau menganjurkan dan atau melaksanakan PRK DUN Semenyih sehingga keanggotaan penuh SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Fungsi SPR boleh dijalankan seorang pengerusi

Bercakap kepada pemberita kemudian, Mohd Khairul Azam menyifatkan keputusan mahkamah tinggi hari ini sebagai "menyedihkan" tetapi memahami keputusan duluan yang dibuat Mahkamah Rayuan sebelum ini,

"Jadi pada saya ini satu keputusan yang menyedihkan. Tetapi saya memahami bahawa mahkamah tinggi terikat dengan keputusan pernah dibuat oleh Mahkamah Rayuan. Oleh itu kami telah pun memaklumkan kepada mahkamah tadi untuk kita memfailkan not is rayuan ke mahkamah rayuan dalam tempoh 24 jam.

"Kita akan meminta untuk mahkamah rayuan review semula keputusan yang pernah dibuat oleh Mahkamah Rayuan pada 2017 samaada ia masih lagi relevan ataupun tidak dalam konteks SPR sekarang ini.

"Ini bermaksud keputusan hari ini menunjukkan bahawa fungsi SPR boleh dijalankan secara berseorang diri oleh pengerusi SPR. Jadi Azhar Azizan @ Harun boleh bermesyuarat dengan Azhar Azizan @ Harun, (lalu) Azhar Azizan @ Harun mencadangkan dan Azhar Azizan @ Harun bersetuju dengan cadangan Azhar Azizan @ Harun, dan itulah keputusan SPR," katanya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam tidak menetapkan perintah untuk kos dalam kes ini.

[Baca berita penuh]

Belanjawan 2020
  • Infografik
    Carta & Graf
  • Kuiz
    Apa anda dapat?
  • Undian
    Suka atau tidak?
  • Laporan langsung
    Laporan langsung kami