Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRK SEMENYIH | Abdul Hadi Awang atau Tuan Ibrahim Tuan Man - salah seorang pemimpin tertinggi PAS itu didakwa akan hadir berkempen untuk BN hujung bulan ini.

Menurut calon pembangkang, Zakaria Hanafi, presiden PAS itu dijangka muncul pada 28 Feb.

Jika ia menjadi kenyataan, kehadiran Abdul Hadi akan bertembung dengan pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad yang turut dijadual berkempen untuk calon PH pada tarikh sama.

Bagaimanapun menurut Zakaria Hanafi, 58, kehadiran Abdul Hadi belum dimuktamadkan lagi.

"Insya-Allah Tok Guru Haji Hadi datang 28 Feb ini, tapi saya dengar beliau dalam keadaan uzur.

"Kalau kesihatan beliau mengizinkan, maka dia hadirlah. Kalau tidak, timbalannya (Tuan Ibrahim Tuan Man)," katanya ketika ditemui selepas melawat pusat pengundian awal di kem Pasukan Gerakan Am Semenyih, pagi tadi.

Kehadiran Abdul Hadi ke Semenyih menjadi tanda tanya ekoran kenyataan Mahathir yang mendakwa anggota parlimen Marang itu berjanji untuk tidak menyokong Umno pada PRK kali ini.

Harap pilih terbaik

Abdul Hadi sendiri mengakui PRK Semenyih berbeza jika dibandingkan dengan Cameron Highlands pada 26 Jan lalu. Katanya di Cameron Highlands PAS berdepan dengan calon DAP.

Bagaimanapun malam tadi Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan memberitahu media, keadaan "berbeza" dimaksudkan itu ialah, mereka akan berkempen lebih hebat untuk Umno dan BN berbanding di Cameron Highlands.

Untuk rekod Nasrudin juga memaklumkan Abdul Hadi berada di luar negara dan ada kemungkinan tidak dapat hadir berkempen di Semenyih.


Baca Kalau PH kalah usah salahkan PAS, kata Hadi


Setiausaha akhbar presiden PAS, Abdul Malik Ab Razak, yang dihubungi Malaysiakini turut mengesahkan Abdul Hadi tiada dalam negara pada tarikh berkenaan.

Sementara itu Zakaria berkata, sehingga kini dia sudah bergerak hampir ke 80 peratus kawasan pilihan raya untuk berkempen.

Berdasarkan lawatan itu, katanya, dia melihat semangat rakyat dalam keadaan baik dan senang dengan kehadirannya.

"Semua orang hendak menang. Setakat ini mood orang ramai baik, tapi undi adalah rahsia dan kita hanya boleh merayu sambil berharap pengundi memilih yang terbaik," katanya.

Lihat Komen
ADS