Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Suspek kes menghina nabi tidak ditahan lebih lama selepas mahkamah menolak permohonan polis bagi menahan reman lelaki terbabit selama 10 hari.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata suspek terbabit ditangkap di Mentakab, Pahang dan dibawa ke Johor untuk proses selanjutnya.

"Asalnya polis memohon mahkamah benarkan dia ditahan reman selama 10 hari, tetapi yang diluluskan hanya tiga hari.

"Kemudian polis minta untuk sambung (reman) tetapi tak diluluskan kerana dia ada masalah kesihatan yang agak rumit. Milsanya penyakit jantung, darah tinggi dan lain-lain lagi," katanya.

Disebabkan mahkamah menolak permohonan lanjutan reman, kata Mohamad Fuzi, lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan polis.

Pada masa sama katanya kertas siasatan berhubung kes berkenaan sudah diserahkan kepada timbalan pendakwa raya (DPP) untuk langkah seterusnya.

Mohamad Fuzi berkata demikian semasa ditemui di majlis memperingati penubuhan Unit Simpanan Persekutuan yang ke-63 di Cheras.

Fahami proses perundangan

Seorang lelaki ditahan polis pada 19 Feb lalu untuk disiasat selepas pelbagai pihak membuat laporan mengenai hantaran yang dimuat naik suspek di media sosial dianggap menghina Nabi Muhammad SAW.

Dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis pada 22 Feb lalu selepas tempoh reman tiga hari yang diberikan mahkamah kepada polis tamat. 

Langkah itu menimbulkan rasa marah sesetengah pihak dan mereka menggesa polis mengambil tindakan segera ke atas lelaki berusia 68 tahun itu.

Polis juga menjadi sasaran kemarahan pihak tertentu kerana membebaskan lelaki terbabit.

Mohamad Fuzi berkata banyak orang tidak faham dengan tugas polis, dan keputusan untuk mendakwa atau membebaskan suspek bukan dalam bidang kuasa mereka.

Selepas kertas siasatan dilengkapkan, katanya, polis akan memberi cadangan kepada DPP dan terpulang kepada pihak terbabit untuk bersetuju atau tidak.

"Kalau DPP tak setuju, dia mungkin bagi arahan-arahan tertentu, dan polis akan patuhi arahan tersebut.

"Saya harap orang ramai dapat memahami proses ini," katanya.

Lihat Komen
ADS