Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memandang serius dakwaan kononnya baginda terbabit dalam skim pembalakan di Kawasan Cadangan Empangan Kedua Tasik Kenyir di Hulu Terengganu.

Pengelola Istana di pejabat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Terengganu, Mohd Yasim Awang dalam satu kenyataan berkata Tuanku menjelaskan, baginda tidak terlibat sama ada secara langsung atau sebaliknya berhubung urusan berkenaan.

"Keadaan itu timbul berikutan adanya surat yang ditandatangani oleh seorang bernama Haji Nik Mohd Nassir Hussin yang kononnya urusan pembalakan itu membabitkan pembayaran kepada Tuanku Sultan bagi jumlah yang amat besar.

"Surat tersebut telah dikemukakan kepada pihak tertentu yang mana ia bukan sahaja menjejaskan nama mereka yang terlibat, malahan nama Tuanku sendiri," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat DYMM Sultan Terengganu hari ini.

Menurut laporan Bernama, Mohd Yasim meminta para pengusaha balak supaya berhati-hati dan tidak terpedaya sekiranya didatangi oleh mereka yang kononnya berurusan bagi skim pembalakan itu.