Hanya 57 daripada keseluruhan 4,200 cawangan MIC di seluruh negara akan menyaksikan pertandingan bagi jawatan tertinggi yang menurut Presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu sebagai bukti kekuatan dan perpaduan MIC.

"Bilangan yang kecil itu menunjukkan MIC adalah kuat, bersatu dan ahli-ahli mahukan kerjasama sepasukan yang sedia ada di peringkat akar umbi, diteruskan," katanya sambil melahirkan rasa puas hatinya terhadap keputusan dan proses pencalonan Jumaat dan Ahad lalu.

Kesemua 57 cawangan yang bakal menyaksikan pertandingan akan mengadakan pemilihan sebelum 28 Februari. Beberapa cawangan hanya akan menyaksikan pertandingan jawatan pengerusi dan naib pengerusi manakala di cawangan-cawangan lain membabit pertandingan bagi jawatan 25 ahli jawatankuasa.

Cawangan terbabit adalah 10 di Selangor, 16 di Perak, Johor (dua), Wilayah Persekutuan (tiga), Negeri Sembilan (empat), Kedah (lima), Penang (tiga), Pahang (lapan ) dan Melaka (enam) manakala penyandang bagi cawangan-cawangan di Melaka, Kelantan, Perlis, Terengganu dan Sabah telah dipilih sebulat suara.

Menurut laporan Bernama, MIC kini mempunyai lebih 600,000 ahli dengan Selangor mempunyai paling banyak cawangan iaitu 1,037 diikuti Perak dengan 778 cawangan. Selepas pemilihan cawangan, bahagian MIC pula akan mengadakan pencalonan pada 10 dan 11 Mac.

Kerja berpasukan

Bercakap kepada pemberita selepas melawat kerja-kerja pembaikan di jejambat Jalan Lingkaran Tengah II (MRRII) di Kepong hari ini, Samy Vellu berkata, berdasarkan keputusan pencalonan cawangan, jelas majoriti ahli MIC mahukan kerjasama berpasukan di kalangan pemimpin mereka.

" Saya percaya mereka (ahli-ahli) gembira dengan semangat kerjasama sepasukan sedia ada di kalangan ahli-ahli jawatankuasa cawangan, terutama antara pengerusi dan naib pengerusi cawangan," katanya.

Samy Vellu berkata, perpaduan dalam parti boleh dikekalkan atau diperkuatkan jika pemimpin setiap cawangan dapat bekerjasama dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada orang ramai.

"Saya gembira mengatakan inilah keadaannya di semua cawangan MIC," katanya, sambil mengucapkan tahniah kepada para pemimpin cawangan yang menang tanpa dicabar.

Beliau berkata, MIC memerlukan pemimpin-pemimpin yang boleh menyumbang kepada komuniti.

"Saya mahu pemimpin semua cawangan yang baru dipilih supaya segera memulakan kerja dan menyenaraikan program-program sosial mereka," kata Samy Vellu, sambil menambah, fokus mereka perlu ke arah kerja komuniti.