Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu mengakui terdapat sedikit kelemahan rekabentuk yang menyumbang kepada keretakan jejambat Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Kepong dekat Kuala Lumpur.

"Masalah rekabentuk ada sedikit tetapi cuaca di negara ini memberi lebih banyak masalah kepada struktur ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja membaik pulih jejambat itu.

Kerajaan menutup laluan MRR2 di Kepong mulai Sabtu lalu bagi membolehkan kerja membaiki 31 daripada 33 tiang dan rasuk jejambat sejauh dua kilometer dijalankan. Sekitar 100,000 kenderaan menggunakan laluan itu setiap hari.

Samy Vellu berkata, walaupun faktor cuaca tempatan sudah diambil kira di peringkat awal tetapi keadaan hujan dan panas, selain kebocoroan paip di jejambat, menyumbang kepada masalah keretakan itu.

Beliau berkata, MRR2 akan selamat dilalui selepas ianya siap diperbaiki dalam tempoh empat bulan dan jalan itu boleh digunakan untuk tempoh 95 tahun lagi kerana setiap jejambat biasanya dibina untuk kegunaan selama 100 tahun.

Menurut laporan Bernama, Samy Vellu menjelaskan keretakan bukanlah di jalan jejambat itu tetapi di bahagian tiang dan rasuknya.

Ketika ini, kerja menjadikan tiang dan rasuk kalis air sedang dijalankan dan dijangka mengambil masa sebulan.

Beliau berkata, kerja itu penting bagi mengelak air memasuki bahagian tiang dan rasuk selain bagi mengeringkan air yang sedia ada di dalamnya.

"Antara 20 dan 25 peratus masalah jejambat itu dapat diselesaikan dengan kerja kalis air itu, dan selepas itu, kerja terakhir akan dibuat dengan memasang besi di bahagian rasuk bagi menguatkannya," kata Samy Vellu.

Katanya, kos pembaikan berjumlah RM18 juta ditanggung oleh kontraktor MRR2, Bumi Hiway (M) Sdn Bhd.