Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saman PH jika lantik AG, CJ, menteri kewangan langgar perlembagaan - Muhyiddin

PRK SEMENYIH | Setiausaha Agung BN Nazri Aziz boleh membawa Pakatan Harapan ke mahkamah sekiranya beliau merasakan pelantikan oang bukan Melayu ke jawatan kanan kerajaan telah melanggar perlembagaan, kata Timbalan Presiden PH Muhyiddin Yassin.

"Nazri adalah seorang peguam kalau dia kata kita sudah melanggar Perlembagaan Persekutuan, dia boleh heret kita ke mahkamah, sila bawa kita ke mahkamah

"Tapi saya tahu dan dia (Nazri) tahu ini tidak menyalahi (Perlembagaan Persekutuan)," katanya yang juga presiden Bersatu.

Muhyiddin mengulas ceramah Nazri pada Sabtu lalu yang mendakwa kerajaan PH lemah dan menyerahkan hak kaum Melayu kepada kaum-kaum lain.

Nazri menyebut pelantikan bukan Melayu sebagai ketua hakim negara, peguam negara dan menteri kewangan sebagai contohnya.

Semalam, polis mengesahkan Nazri sedang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.

Mengulas pelantikan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, Muhyiddin berkata apa yang penting adalah sikap amanah dan bukannya kaum.

Menteri dalam negeri membandingkan dengan Najib Razak yang juga pernah menjawat menteri kewangan.

"Dia kata kenapa lantik Guan Eng jadi menteri kewangan? OK lantik orang Melayu, yang dulu jadi menteri kewangan siapa?... 'Bossku', Najib Razak menteri kewangan dan perdana menteri, dia puak apa ?

"Soal pokoknya bukan soal bangsa, ini bukan soal perkauman.

"Soal pokoknya sesiapa saja yang diberi tugas dan tanggungjawab bersifat amanah.

"Kalau dia jadi menteri kewangan dia sapu habis bersih. Saya fikir dia Melayu, totok Melayu, (tapi) saya fikir dia telah melakukan jenayah pada bangsa Melayu," katanya.

Panduan, bimbingan kabinet

Muhyiddin yang juga Pengerusi Pilihan Raya PH menjelaskan Lim tidak memiliki kuasa mutlak dan setiap keputusan perlu dibincangkan di dalam mesyuarat jemaah menteri.

"Biarlah bagi peluang Guan Eng, apa salah, dan Guan Eng duduk dalam jemaah menteri sebagai menteri kewangan

"Dalam kebanyakan hal dia bawa ke kabinet, lepas itu dia bawa juga ke pengetahuan perdana menteri, jadi bukan kuasa mutlak, dia mesti dapat panduan, bimbingan dan keputusan daripada kabinet sebelum suatu perkara dilaksanakan, khususnya berkaitan dengan soal kewangan negara," jelasnya.

Beliau menolak dakwaan Nazri bahawa PH tidak menjaga kepentingan masyarakat Melayu dan Islam. Muhyiddin selanjutnya berkata empat parti komponen PH telah memeterai perjanjian untuk menjaga hak-hak semua kaum, raja-raja Melayu dan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

Majlis ceramah itu dihadiri kira-kira 350 orang, kebanyakannya penyokong PH yang memakai baju merah.

Kampung Sungai Kembung Hilir terletak di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Kembung memiliki pemilih berdaftar seramai 1,765 orang, yang mana 99.54 peratus merupakan pengundi Melayu.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS