Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah bebas, lepas Rafizi tuduhan tohmah Tabung Haji

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli daripada pertuduhan jenayah tohmah Tabung Haji.

Hal ini selepas peguamnya Md Yunos Sharif memberitahu Majistret Umzarul An Nur Umar bahawa Pejabat Peguam Negara (AGC) telah menerima hujah dalam surat representasi yang dihantar.

Timbalan Pendakwaraya Nadia Zulkefli mengesahkan pendakwaan telah memutuskan untuk menggugurkan kes itu.

Susulan itu, Md Yunos memohon pelepasan dan pembebasan, yang dipersetujui Umar.

Rafizi sepatutnya memulakan pembelaan kesnya hari ini terhadap pertuduhan berkenaan selepas kes itu ditangguhkan pada Disember lalu.

Dilaporkan kemudian bahawa beliau telah mengambil Md Yunos sebagai peguambela dan surat representasi dihantar berikutan siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa terhadap Tabung Haji.

Rafizi diarahkan oleh Umzarul untuk membela diri pada September lalu.

Biasanya surat representasi dihantar bagi tujuan untuk mengurangkan atau menggugurkan pertuduhan.

Bekas MP Pandan pada 8 April 2016, mengaku tidak bersalah menyiarkan artikel bertajuk ‘Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015’ dalam akaun Facebook bertarikh 9 Februari 2016, yang mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji yang boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur, pada 9 pagi, 18 Februari 2016 mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS