Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi akan kemuka representasi tarik dakwaan tohmah Tabung Haji
Diterbitkan:  Dec 28, 2018 11:42 AM
Dikemaskini: 3:49 AM

Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, akan mengemukakan surat representasi kepada Pejabat Peguam Negara supaya tuduhan yang dikenakan ke atasnya, dua tahu lalu berhubung artikel yang didakwa mengandungi tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) ditarik balik.

Peguam Md Yunos Shariff yang kini mewakili Rafizi selepas menggantikan peguam Gobind Singh Deo berkata demikian kepada Majistret Umzarul An-Nur Umar semasa prosiding sebutan hari ini.

Menurut Md Yunos, beliau diarahkan oleh anak Rafizi untuk mengemukakan surat representasi itu pada 4 Januari ini.

Majistret kemudian menetapkan pada 28 Januari ini sebagai tarikh baru untuk  mendapatkan perkembangan mengenai status representasi yang dikemukakan itu.

Pada 25 September lalu, Rafizi diperintahkan untuk membela diri selepas Umzarul An-Nur mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada 8 April 2016, Rafizi, mengaku tidak bersalah menyiarkan artikel bertajuk ‘Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015’ dalam akaun Facebook bertarikh 9 Feb 2016, yang mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji yang boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak di sini, pada 9 pagi, 18 Feb 2016 mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 Rafizi turut diwakili peguam Adi Zulkarnain Zulkafli manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jaizah Jaafar Sidek.


Lihat Komen
ADS