Bantuan kesihatan, Pak Lah kata syarat boleh dilonggarkan
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Kementerian Kesihatan boleh memperbaiki dan melonggarkan lagi syarat permohonan Tabung Bantuan Perubatan (TBP) jika ia membolehkan lebih ramai pesakit menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan itu.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Kementerian Kesihatan boleh memperbaiki dan melonggarkan lagi syarat permohonan Tabung Bantuan Perubatan (TBP) jika ia membolehkan lebih ramai pesakit menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan itu.
Perdana Menteri berkata, apa jua syarat yang ditetapkan untuk mendapatkan bantuan TBP perlu dibuat dengan betul dan munasabah, dan rakyat harus mematuhi peraturan yang dikenakan dan tidak mengemukakan permintaan yang bukan-bukan.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri hari ini, Abdullah berkata: "Kalau benar-benar susah (hendak mendapat bantuan TBP), maka kita perlu ambil tindakan untuk kurangkan kesusahan.
"Tapi kalau rakyat nak ambil tindakan ikut sesuka dia, dia nak macam itu, macam ini dan tak mahu ikut peraturan, maka jadi susahlah kepadanya," katanya ketika diminta mengulas rungutan berterusan pesakit dan anggota keluarga berhubung kesukaran mendapatkan bantuan kewangan TBP seperti yang dipaparkan oleh media saban hari.
Dalam menggesa mereka supaya mematuhi syarat permohonan, Abdullah berkata: "(Sukar) nak memuaskan hati semua orang. Tak pernah ada undang-undang yang boleh memuaskan hati semua orang."
Menurut laporan Bernama, beliau juga berkata, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) perlu bertindak terhadap mana-mana doktor yang memberikan perkhidmatan tanpa mematuhi etika sewajarnya.
Mengenai siasatan yang dijalankan melibatkan dakwaan berlakunya kes-kes kecuaian di pusat perubatan, Abdullah berkata rakyat akan mempunyai persepsi bahawa pihak berkenaan tidak mengambil apa-apa tindakan jika mereka tidak dimaklumkan tentang hasil siasatan.
Kontrak kakitangan
Perdana Menteri turut ditanya mengenai perkembangan rundingan bagi membina jambatan baru merentasi Selat Johor, rombakan kabinet dan amalan menyambung secara kontrak khidmat kakitangan awam selepas mereka bersara.
"Rundingan antara kita dengan Singapura belum selesai dan keseluruhannya itu diuruskan oleh Kementerian Luar," katanya apabila ditanya mengenai dua syarat Singapura berhubung kerjasama republik itu dengan Malaysia dalam pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor.
Syarat-syarat itu mencakupi penjualan pasir dan membuka ruang udara Johor kepada republik itu.
Ditanya sama ada beliau bercadang membuat rombakan kabinet dalam kesibukannya membuat persiapan Rancangan Malaysia Kesembilan, Perdana Menteri menjawab dengan satu pertanyaan : "Ada soalan lain?"
Mengenai khidmat kakitangan kerajaan yang disambung secara kontrak, Abdullah berkata ia bergantung kepada pertimbangan ketua jabatan dan sama ada seseorang itu perlu meneruskan tugas.
"Macam-macam kriteria digunakan tapi ini adalah untuk kebaikan perkhidmatan awam. Dan kita tak mahu tindakan menyambung (secara kontrak) ini menjadi satu perkara yang diberikan kepada semua," katanya.
Abdullah berkata ada pihak yang tidak gemarkan amalan khidmat secara kontrak ini dengan alasan ia menyekat kemajuan kerjaya individu lain.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.