Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Mohamaddin berjiwa rakyat hingga lupa terlanggar undang-undang'

Zuraida Kamaruddin menyifatkan menteri pelancongan Mohamaddin Ketapi berjiwa rakyat sehingga terlupa tindakannya mengumumkan peruntukan ketika kempen pilihan raya melanggar undang-undang.

“Saya rasa dia pun tak pasti, kerana dia berjiwa rakyat.

“Jadi dia terlupa (berada dalam tempoh) berkempen pilihan raya kecil (PRK),” kata menteri perumahan dan kerajaan tempatan kepada pemberita.

Zuraida disoal pemberita pada demonstrasi pembuatan kek brownies di Balai Raya Kampung Baru Semenyih, yang turut dihadiri oleh calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali.

Tambah Zuraida, tindakan pantas Mohamaddin memohon maaf juga menunjukkan sikap peka akan kesilapan yang dilakukan tanpa banyak berdolak-dalih.

“Maksudnya dia peka tentang kesilapan yang dilakukan, jadi segera dia minta maaf. Ini cara pemimpin yang baru.

“Kita salah, kita cepat-cepat minta maaf, tak payah nak ‘ok ek ok ek’ (banyak dalih),” katanya lagi.

Semalam, Mohamaddin mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM80,000 bagi kerja baik pulih Dewan Haji Md Silin di Beranang ketika berucap dalam Malis Perasmian Program Semarak Seni Kraf di situ.

Mohamaddin Ketapi 

Menurut Mohamaddin, peruntukan khas daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri adalah bagi memudahkan dan memberi keselesaan kepada komuniti kraf melakukan aktiviti di Semenyih.

Kira-kira sejam selepas itu, Mohamaddin mengeluarkan kenyataan memohon maaf atas pengumuman peruntukan tersebut dan menarik balik bantuan itu serta-merta setelah menyedari ia bertentangan dengan akta SPR.

Katanya, bantuan itu diumumkan adalah bagi memenuhi cadangan penduduk yang menyuarakan hasrat agar penambahbaikan dapat dibuat untuk dewan terbabit.

Sebelum itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan program anjuran kerajaan yang berlangsung di Semenyih secara amnya tidak dianggap melanggar undang-undang pilihan raya selagi aktiviti itu tidak digunakan untuk mengumpan undi.

Sementara itu, apabila disoal adakah pengumuman Mohamaddin itu bermakna peruntukan tersebut tidak akan diberikan biarpun setelah tamat tempoh PRK, Zuraida beranggapan penarikan balik peruntukan tersebut lebih bersifat penangguhan.

“Sebenarnya maksudnya ditangguhkan, (supaya) jangan orang anggap sebagai gula-gula pilihan raya. Ditangguhkan. Peruntukan itu sudah ada.

“Saya pun banyak peruntukan, tapi takkan nak cakap, nanti kamu kata saya kasi untuk pilihan raya pula. Jadi saya tangguh dahulu,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS