Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) telah tersasar dari matlamat yang ditetapkan dan gagal melahirkan lebih ramai bumiputera yang berjaya dalam bidang ekonomi, kata Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Pahang.

Berikutan itu, dewan berkenaan menggesa supaya semua keputusan dan tindakan yang dilaksanakan menerusi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) sebelum ini, dilaksanakan mengikut keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan.

Yang dipertuanya, Syed Ali Syed Mohsin Al Hamid berkata kerajaan perlu tegas dalam menangani permasalahan tersebut supaya KEB menjadi landasan bagi meningkatkan pencapaian kaum bumiputera yang kini hanya mencapai peningkatan sekitar 28 peratus.

"Kongres ekonomi sudah berkali-kali diadakan, namun pencapaian golongan bumiputera masih di takuk yang rendah sekaligus gagal mencapai sasaran dan matlamat yang disarankan terutama menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB)," katanya kepada Bernama hari ini.

KEB pertama diadakan pada 1965 yang menyaksikan kelahiran idea-idea penubuhan pelbagai institusi khusus untuk bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Institut Teknologi Mara dan Bank Bumiputera.

Selain ini yang turut membabitkan rombakan komprehensif kepada peluang-peluang pendidikan, pekerjaan perniagaan dan corak urbanisasi negara.

Idea-idea yang dicetuskan KEB itu juga kemudiannya dilaksanakan dan diintegrasi dalam DEB.

Justeru itu, Syed Ali berharap dalam kongres terbaru nanti semua yang terlibat, termasuk badan berkanun, badan bukan kerajaan (NGO), korporat bumiputera dapat mencari pendekatan dan keputusan baru untuk dilaksanakan dengan lebih berkesan.