Terjemahan Editor yang menurut akhbar Sarawak Tribune , meletakkan jawatan sebagai memikul tanggungjawab berhubung penyiaran karikutar yang menghina Nabi Muhammad, sebaliknya berkata, beliau sebenarnya telah "diarah supaya berhenti".

Beliau memberitahu malaysiakini, sebaik sahaja selesai mesyuarat tergempar pihak pengurusan Sabtu lalu, beliau diarahkan meninggalkan pejabat akhbar berkenaan.

Editor itu (nama tidak disiarkan untuk keselamatannya) juga mendakwa, beliau tidak bertindak bersendirian dalam perkara tersebut. Menurutnya, seorang lagi editor atasannya telah "meluluskan" muka surat yang menyiarkan karikatur tersebut, sebelum ianya dicetak.

Bekas editor berkenaan yang bertugas pada hari karikatur tersebut disiarkan berkata, beliau telah disoalsiasat oleh pegawai Cawangan Khas semalam.

Beliau memberitahu pihak polis bahawa muka surat tersebut telah ditunjukkan kepada editor atasannya sebelum akhbar berkenaan dicetak.

"Dia melihatnya dan tidak membuat apa-apa komen," tambahnya.

Ini bercanggah dengan kenyataan akhbar tersebut, yang menyiarkan permohonan maaf keduanya hari ini. Dalam permohonan maaf yang disiarkan di muka depan akhbar berkenaan, pihak pengurusan berkata pihaknya "amat menyesali" kerana menyakit perasaan masyarakat Islam.

'Akhbar tertua'

Bagaimanapun, katanya, editor yang bertugas pada hari berkenaan telah bertindak sedemikian "tanpa pengetahuan editor atasannya atau orang lain".

Menurutnya, siasatan dalaman yang dilakukan juga menunjukkan tiada orang lain yang terbabit kecuali editor yang bertugas pada malam berkenaan.

Jika ini benar, editor berkenaan telah dijadikan 'kambing hitam' oleh pihak pengurusan akhbar bekenaan, dan dipaksa meletakkan jawatan.

Akhbar Sarawak Tribune , akhbar paling tua di negeri itu, dimiliki oleh Sarawak Press Sdn Bhd sebuah syarikat yang ada kepentingan perniagaan dengan keluarga Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abdul Taib Mahmud.

Bekas editor tersebut menceritakan kepada malaysiakini apa yang berlaku pada malam tersebut Jumaat lalu dan mengapa beliau memutuskan untuk menyiarkan karikatur tersebut bersama sebuah berita AFP mengenai demonstrasi di seluruh Asia membantah penyiaran karikatur yang dianggap umat Islam telah menghina Nabi Muhammad.

"Tidak banyak berita pada hari berkenaan dan saya memilih berita AFP itu. Pada masa itu saya fikir ia akan membantu pembaca memahami sebab di balik berlakunya demonstrasi ganas tersebut.

"Pada masa itu, saya tidak menyedari yang ia akan mengakibat reaksi seumpama itu," tambahnya.

Katanya, ilustrasi tersebut yang merupakan sebahagian daripada 12 karikatur mengenai Nabi Muhammad, dimuat-turun daripada Internet.

'Saya tergamam'

Beliau berkata, mengikut amalan biasa, apabila seorang editor menyiapkan muka suratnya, ia akan terlebih dahulu ditunjukkan kepada editor atasannya, yang meluluskan muka surat tersebut sebelum dihantar untuk cetakan.

Dalam permohonan maaf yang disiarkan di muka depannya Ahad lalu, dan sekali lagi hari ini, akhbar tersebut berkata, walaupun teks bersama karikatur tersebut tidak jelas untuk menyatakan makna karikatur berkenaan, tetapi penerbit dan jawatankuasa editorial merasakan petikan tersebut tidak sepatutnya disiarkan langsung.

Menurut akhbar itu lagi, editor yang bertugas telah mengaku dan menyesali kelalaiannya itu dan telah menulis secara rasmi pemohonan maaf dan pada masa yang sama, memikul dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tindakan yang dilakukan olehnya sahaja tanpa pengetahuan editor atasannya atau orang lain.

Mengenai bagaimana perasaannya apabila diberitahu oleh bosnya pada hari berikutnya mengenai keseriusan perkara tersebut, bekas editor berkata, beliau terkejut dan tergamam dan "jantung saya berhenti berdetup untuk seketika".

Ekoran kontroversi tersebut, terutama di kala masyarakat Islam amat marah terhadap isu tersebut, beliau berkata, dia bimbangkan keselamatan dirinya, tetapi berkata sehingga ini, tidak menerima sebarang ancaman.

Pengarang Kumpulan Sarawak Tribune , Toman Mamora dan Pengarah Urusan dan Pengerusi Lembaga Editorial, Senator Idris Buang berada di Putrajaya untuk menemui pegawai Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, petang ini.

Gesaan haramkan Tribune

Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menggesa Kementerian Keselamatan Dalam Negeri supaya membatalkan lesen penerbitan Sarawak Tribune .

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusinya, Wan Zainal Abidin berkata, keseluruhan pengurusan Sarawak Tribune, termasuk pengarah urusan dan pengarang kumpulannya, mesti meletakkan jawatan sebagai berrtanggungjawa terhadap tindakan provokasi tersebut.

Bagaimanapun, sebuah lagi parti pembangkang, DAP, mempunyai pendirian yang berbeza dalam isu tersebut.

Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang berkata, Sarawak Tribune telah memohan maaf terhadap 'kelalaiannya' dalam menyiarkan kartun berkenaan manakala editor yang bertugas telah meletakkan jawab sebagai memohon maaf.

Oleh itu, katanya, tidak perlu tindakan lanjut diambil terhadap akhbar berkenaan.

Malah, katanya, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar pun tidak melakukan sepertimana yang dilakukan oleh editor Sarawak Tribune yang bertindak meletak jawatan sebagai memikul tanggungjawab terhadap apa yang telah dilakukannya.

Kata-kata Lim itu jelas merujuk kepada dakwaan yang Noh telah sengaja merahsiakan kewarganegaraan wanita yang diarah melakukan ketuk ketampi dalam keadaan bogel ketika dalam tahanan polis. Berita asal