Isu jambatan: Malaysia akan lindungi kepentingannya
Rundingan dengan Singapura mengenai pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor tidak akan sesekali menggadaikan kepentingan rakyat dan negara ini, kata Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Rundingan dengan Singapura mengenai pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor tidak akan sesekali menggadaikan kepentingan rakyat dan negara ini, kata Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Sambil menegaskan tiada apa yang baru berhubung syarat-syarat yang dikemukakan oleh Singapura untuk mendapatkan kerjasamanya bagi pembinaan jambatan itu, beliau menegaskan bahawa tiada keputusan yang telah dicapai mengenai perkara itu setakat ini.
Beliau berkata biarkan perundingan di antara kedua-dua pihak itu berjalan dulu.
"Walau apa juapun kita tidak akan biarkan kepentingan rakyat dan negara ini tergugat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Biro Antarabangsa Pemuda Umno di Putrajaya.
Menurut laporan Bernama, Syed Hamid berkata demikian bagi mengulas syarat yang ditetapkan republik itu sebelum bekerjasama dengan Malaysia dalam projek itu -- bahawa Malaysia harus menjual pasir kepada Singapura dan membuka ruang udara Johor untuk latihan jet pejuangnya.
Beliau berkata perbincangan adalah ditumpukan kepada pembinaan sebuah jambatan lurus serta beberapa isu berkaitan yang perlu dinyatakan dalam satu perjanjian jika ada kesejajaran antara kedua-dua pihak.
Malaysia, katanya, akan berusaha mencari satu persefahaman dengan Singapura melalui rundingan dalam usaha untuk menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat.
Semasa menarik perhatian kepada syarat Singapura itu di Kota Tinggi semalam, Syed Hamid berkata semua itu melibatkan sensitiviti dan Malaysia perlu mengkaji apa yang boleh dan yang tidak boleh diberikan.
Beliau juga berkata para pegawai kedua-dua negara akan mengadakan perjumpaan di Singapura sama ada pada akhir bulan ini atau awal Mac.
Singapura telah meminta penjelasan Malaysia mengenai hasrat negara untuk meneruskan pembinaan jambatan berharga RM600 juta itu tanpa menunggu kata putus Singapura.

