Para perunding kerajaan Filipina dan puak pemisah Islam Moro berkata mereka telah mencapai satu persetujuan awal berhubung isu kontroversi berhubung tanah milik nenek moyang mereka.

Perundingan awal selama dua hari yang diadakan di Malaysia berakhir semalam dengan kedua belah pihak "terjaya mencapai persepakatan berhubung isu isu tanah nenek moyang".

Perkara tersebut dinyatakan dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh perunding kerajaan Filipina dan Barisan Pembarisan Islam Moro (MILF) selepas mengadakan rundingan dua hari itu di pusat peranginan di Port Dickson.

"Perjanjian mengenai tanah nenek moyang itu mungkin ditandatangani lewat Mac 2006, serentak dengan permulaan rundingan rasmi," kata mereka.

Kedua pihak bersetuju untuk menetapkan skop wilayah tanah tumpah dari Moro berdasarkan kepada peta-peta teknikal dan data yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak, kata kenyataan itu lagi.

Mereka juga telah menyelesaikan langkah menangani "rungutan sah" penduduk Moro "akibat daripada tindakan tidak adil dan/atau tindakan meminggirkan mereka" dan "hak mereka untuk mengguna dan memajukan tanah nenek moyang mereka."

Kedua-dua pihak juga telah mencapai persetujuan dalam bidang kerjasama ekonomi, tambah kenyataan itu.

Komitmen puak MILF

Silvestre Afable, yang mengetuai pasukan perunding kerajaan Filipina, dipetik oleh Bernama sebagai berkata, kerajaan Manila komited untuk mewujudkan keamanan dan "amat gembira kerana MILF memberi respond dan komitmen yang serius".

Beliau menjangka, mereka akan dapat mencapai persetujuan lebih awal daripada yang dijadualkan.

Ketua perunding MILF, Mohagher Iqbal pula berkata, harapan mereka untuk mencapai persetujuan bagi mewujudkan keamanan yang komprehensif dan berkekalan di Mindanao "kini semakin hampir menjadi kenyataan".

Menurutnya, antara isu yang akan dibincangkan adalah mengenai penyelesaian politik antara kedua belah pihak.

Malaysia telah menjadi orang tengah dalam rundingan damai antara Manila dan MILF yang berjuang sejak dua dekad lalu untuk mewujudkan sebuah negara Islam di kepulauan di selatan Filipina itu.

Manila dan MILF juga telah menandatangani perjanjian gencatan senjata pada 2001 dan memulakan rundingan, tetapi tuntutan mengenai tanah nenek moyang telah menjadi penghalang utamanya.