Satu letupan dari tandas lelaki di tingkat empat Menara Northem di Jalan Sultan Ahmad Shah di Pulau Pinang, yang menempatkan Mahkamah Sesyen, membuatkan ramai di situ yang terkejut.

Letupan yang berlaku pada jam 11 pagi tadi, pada awalnya, disangkakan bunyi tembakan tetapi rupa-rupanya ia akibat mercun jenis roket yang masuk ke tandas itu. Mercun itu dipercayai dimain oleh kanak-kanak dari luar kawasan bangunan itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Hamzah Md Jamil berkata unit forensik dan unit pemusnah bom mengesahkan letupan itu akibat mercun berdasarkan penemuan kepingan kertas dan keadaan siling tandas itu yang berlubang akibat letupan mercun.

"Dipercayai ada anak-anak nakal yang bermain mercun dari luar bangunan ini dan mercun itu dipercayai masuk ke dalam tandas itu melalui tingkap yang terbuka," katanya.

Menurut laporan Bernama, Hamzah berkata polis masih meneruskan siasatan mengikut Akta Bahan Letupan 1957.

Selain Mahkamah Sesyen, bangunan itu juga menempatkan Mahkamah Majistret, Mahkamah Tinggi dan beberapa jabatan dan agensi kerajaan.

"Polis memandang serius kejadian ini kerana ia melibatkan bangunan kerajaan dan perbuatan ini boleh membahayakan orang ramai," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkenaan kes itu diminta menghubungi Cif Inspektor Rohaizat Ismail di Ibu Pejabat Polis Kontinjen melalui talian 04-4221883.