PAS mencadangkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijadikan orang tengah bagi mengusahakan rundingan damai agar konflik melibatkan India dan Pakistan dapat diatasi.

Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Mahathir mampu melakukan perkara itu memandangkan kedua-dua pemimpin negara bergolak tersebut mempunyai hubungan baik dengan perdana menteri Malaysia sekarang.

Untuk rekod selepas Mahathir dilantik menjadi perdana menteri Mei tahun lalu, Perdana Menteri India Narenda Modi membuat kunjungan hormat pada bulan yang sama.

Perdana Menteri Pakistan Imran Khan pula berkunjung ke Putrajaya pada November.

“Oleh itu, Dr Mahathir adalah pengantara terbaik untuk mengajak kedua-dua pihak untuk berunding mencapai persefahaman untuk mengelakkan perang.

“PAS berpandangan bahawa rantau Asia tengah perlu dikekalkan keamanannya, tambahan pula wilayah Kashmir yang bergolak sekian lama mesti diusahakan penyelesaian tuntas dan berkekalan,” kata Tuan Ibrahim dalam kenyataannya, hari ini.

Kenyataan itu dibuat ketika PAS sedang berdepan pelbagai dakwaan melibatkan saman presidennya Abdul Hadi Awang ke atas editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown.

Kenyataan Tuan Ibrahim juga dikeluarkan beberapa ketika selepas beberapa pemimpin kanan PAS menafikan dakwaan Mahathir bahawa PAS berjanji untuk tidak menyokong calon BN dalam PRK Semenyih.

Untuk rekod ketegangan hubungan diplomatik di antara India dan Pakistan mengundang kebimbangan dunia kerana ia boleh bertukar menjadi bertambah buruk dan menggugat kestabilan dunia. 

Ketegangan di antara New Delhi dan Islamabad - dengan kedua-duanya merupakan kuasa nuklear - semakin memuncak sejak serangan pengganas di Pulwana, India pada 14 Feb lalu yang membunuh lebih 40 orang serta mencederakan berpuluh-puluh yang lain.

Menurut laporan, kumpulan militan berpangkalan di Pakistan, Jaish-e-Mohammed, mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Anggota Parlimen Kubang Kerian itu berkata, pertikaian itu perlu diselesaikan secepat mungkin kerana tiada siapa yang akan untung jika peperangan berlaku.

“Oleh demikian, pergolakan hangat antara India dan Pakistan perlu diberi perhatian sewajarnya oleh dunia terutamanya rantau Asia Tenggara.

“PAS mendesak agar diusahakan segera perundingan dengan Malaysia mengambil inisiatif utama bagi menggerakkan perundingan tersebut,” katanya.