Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mohamad Hassan: Aura Najib, PAS antara faktor kemenangan BN

PRK SEMENYIH | Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan menyifatkan aura bekas perdana menteri Najib Razak turut membantu kemenangan BN di PRK Semenyih.

"Semua memainkan peranan, tiada satu perkara yang memainkan peranan (lebih) besar (berbanding yang lain).

"Pastinya Najib bawa aura baru untuk membantu kemenangan BN," katanya ketika ditemui pemberita di pusat penjumlahan undi di Semenyih hari ini.

Beliau yang kini menjalankan tugas sebagai presiden Umno turut mengucapkan penghargaan kepada PAS yang memberi laluan kepada BN dengan tidak meletakkan calon dalam PRK ini.

"Kerjasama baik menghasilkan keputusan yang baik dan kita akan (terus) pupuk.

"Kerjasama antara dua parti ini beri kelebihan kepada kita. Dalam PRU lalu banyak kerusi (bertembung) dan kita rugi kerana undi yang diperoleh calon PAS dan BN melebihi PH," katanya lagi, sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu kemenangan BN.

Hari ini BN merampas kembali kerusi DUN Semenyih yang dimenangi PH pada PRU lalu, selepas calonnya Zakaria Hanafi menewaskan Muhammad Aiman Zainali dengan perbezaan 1,914 undi.

Dengan kemenangan ini, BN kini mempunyai lima kerusi DUN di Selangor manakala kerusi PH pula berkurangan kepada 50.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata keputusan PRK ini adalah referendum rakyat yang tidak berpuas hati dengan prestasi PH sebagai kerajaan.

"Rakyat tak puas hati dengan PH setakat ini terutama dengan janji ditaburkan yang melenakan pengundi.

Selepas PRK Semenyih, perhatian bakal beralih kepada Rahmat apabila PRK perlu diadakan di kerusi DUN yang dipegangnya iaitu Rantau.

Beliau menang tanpa bertanding pada PRU ke-14 selepas calon PKR, Dr S. Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana beliau tidak memiliki pas dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mahkamah pilihan raya kemudian memutuskan kemenangannya tidak sah dan terbatal.


Lihat Komen
ADS