Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tanam buluh cuma alternatif, kata Teresa
Diterbitkan:  Mar 3, 2019 4:06 PM
Dikemaskini: 8:06 AM

Tanaman buluh, nanas dan kelapa hanyalah cadangan alternatif kepada para pekebun kecil dan bukan pengganti kepada kelapa sawit, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Beliau merujuk laporan akhbar Utusan Malaysia bertajuk “Lupakan Kelapa Sawit, Tanam Buluh” yang disiarkan akhbar itu hari ini.

"Buluh, nanas dan kelapa yang saya sebutkan semalam adalah sebagai cadangan alternatif kepada para pekebun kecil yang selama ini sangat bergantung hanya kepada tanaman kelapa sawit sebagai sumber pendapatan.

"Kenyataan saya juga hanya rujuk kepada beberapa kawasan yang bersesuaian di negeri Pahang yang kebetulannya mempunyai banyak buluh.

Dengan penjelasan ini, saya berharap kekeliruan dapat dirungkaikan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Teresa, pada sidang akhbar itu beliau ditanya oleh pemberita berkenaan hasrat kerajaan untuk menghadkan perluasan penanaman kelapa sawit.

"Justeru, saya menjelaskan bahawa tujuan kerajaan berbuat demikian adalah sebagai salah satu langkah bagi melawan sentimen anti minyak sawit di Eropah yang kini telah menjejaskan pengeksportan minyak sawit kita ke pasaran global khususnya negara-negara Eropah.

"Kementerian Industri Utama di bawah saya sedang mengambil langkah untuk melawan pengaruh kempen anti minyak sawit di Eropah yang mutakhir ini menjadi semakin kuat," katanya.

Kata Teresa beliau juga memberitahu wartawan bahawa harga minyak sawit Malaysia jatuh dengan agak teruk pada tahun lepas sekali gus menjejaskan pendapatan ramai pekebun kecil.

"Oleh sebab itu, Perdana Menteri kita iaitu YAB Tun Dr Mahathir Mohamad telah menasihati rakyat, malahan termasuklah kementerian saya agar tidak terlalu bergantung kepada satu-satu jenis tanaman.

"YAB menegaskan adalah penting bagi negara kita untuk mengkaji penanaman jenis tanaman yang lain," katanya.

Bagaimanapun kata Teresa pemilihan tanaman alternatif tersebut adalah bergantung kepada kesesuaian tempat.

"Ada tempat yang sesuai untuk tanam pokok kelapa, ada yang lebih sesuai untuk nanas atau pokok durian," katanya.

Lihat Komen
ADS