Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
3 lagi kes difteria disahkan di Johor - KKM
Diterbitkan:  Mar 3, 2019 5:02 PM
Dikemaskini: 10:55 AM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiga lagi kes difteria di Johor setakat semalam.

Dalam kenyataannya hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes masing-masing melibatkan seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia empat tahun serta seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.

Katanya kanak-kanak perempuan itu merupakan kakak kepada kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia akibat diifteria pada 23 Februari lepas dan kesemua mereka yang jangkiti tinggal di rumah yang sama.

“Kesemua kes telah menerima rawatan di hospital dan dalam keadaan stabil. Satu kes telah dibenarkan pulang ke rumah manakala dua lagi kes masih dirawat di hospital,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun sebulan meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan difteria.

Dr Noor Hisham berkata lapan orang lagi yang tinggal serumah dengan kes kematian dan tidak bergejala juga diberi rawatan antibiotik sebagai profilaksis (pencegahan).

“Keadaan kesihatan mereka dipantau secara harian oleh Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru selama 14 hari. Tiada kes baru dilaporkan dan kejadian adalah terkawal.

Penyakit mudah merebak

“Susulan kejadian wabak difteria di Johor ini, KKM ingin menegaskan kepentingan pemberian imunisasi bagi mencegah penyakit berjangkit yang boleh dicegah oleh vaksin seperti difteria, demam campak, batuk kokol dan lain-lain,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata penyakit-penyakit itu amat mudah merebak dan kanak-kanak berisiko tinggi untuk dijangkiti dan pemberian vaksin kepada kanak-kanak membantu tubuh mereka membina antibodi yang boleh melawan kuman penyebab penyakit dan memberi perlindungan daripada jangkitan.

“Sekiranya seseorang yang telah menerima vaksin dijangkiti kuman penyebab penyakit tersebut, gejala yang dialami adalah ringan. Namun, seseorang yang tidak divaksinkan pula bukan sahaja mudah dijangkiti, tetapi turut berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi jangkitan yang boleh menyebabkan kegagalan fungsi pelbagai organ dan juga kematian,” katanya.

Beliau seterusnya menyeru ibu bapa agar sentiasa memastikan anak-anak mereka mendapatkan imunisasi mengikut jadual yang ditetapkan oleh KKM dan bagi kanak-kanak yang telah tercicir suntikan, perkhidmatan imunisasi boleh didapatkan daripada fasiliti kesihatan terdekat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS