Kerajaan Sabah bercadang mewartakan lebih banyak kawasan perlindungan marin termasuk di daerah ini, kata Timbalan Ketua Menteri Christina Liew.

Menurutnya langkah itu selaras dengan hala tuju kerajaan negeri agar Sabah menjadi negeri unggul dan peneraju dalam pelancongan alam semula jadi.

Antara taman laut yang diwartakan bagi melindungi kepelbagaian populasi hidupan marin ialah Taman Tun Mustapha, Taman Tun Sakaran dan Taman Pulau Penyu, kata Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dalam ucapan merasmikan sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia peringkat negeri di Lahad Datu, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Assaffal P Alian.

Menurut Liew, pelancongan berdasarkan alam semula jadi Sabah menyumbang kepada pendapatan utama kerajaan negeri yang tahun lalu menerima lebih RM7.25 bilion daripada kegiatan hampir empat juta pelancong.

Pada masa sama, Liew juga berkata hidupan marin di Sabah diancam kepupusan akibat kegiatan tidak bertanggungjawab termasuk aktiviti mengebom ikan serta pembuangan sampah ke laut.

"Hentikan sikap suka membuang sampah merata-rata tempat kerana tabiat tersebut mengundang kesan negatif kepada biodiversiti marin negeri ini yang menjadi tarikan pelancong datang ke Sabah," katanya.

- Bernama