BERITA Malaysiakini

Poligami selalunya tak adil terhadap wanita - Imam besar Al-Azhar

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

GLOBAL | Imam Besar Masjid dan Universiti AL Azhar di Mesir, Sheikh Ahmed al-Tayeb berkata poligami seringkali berlau tidak adil terhadap golongan wanita.

"Poligami selalunya merupakan ketidakadilan terhadap wanita dan kanak-kanak," kata ulama institusi pengajian tinggi Islam itu, petik laporan AFP hari ini.

Menurut Sheikh Ahmed amalan itu berpunca daripada "kurang kefahaman terhadap Al-Quran dan Sunnah (Nabi Muhammad SAW)."

Laporan AFP juga turut mengatakan Ahmed turut menyampaikan isu yang sama Jumaat lalu dalam program mingguan televisyen di Mesir.

"Mereka yang berkata perkahwinan mesti berpoligami adalah salah.

"(Di dalam Al-Quran dijelaskan lelaki Muslim) perlu mematuhi kewajipan berlaku adil, dan jika tidak dapat berlaku adil maka dilarang untuk mempunyai ramai isteri," katanya lagi.

Sheikh Ahmed turut berkata penyampaian isu-isu wanita juga perlu diubah.

"Wanita mewakili separuh daripada masyarakat, jika kami tidak prihatin terhadap mereka ia seperti kita berjalan dengan hanya satu kaki sahaja," ujarnya.

Bagaimanapun kenyataan Sheikh Ahmed itu tidak bermaksud beliau menggesa supaya poligami dilarang, lapor AFP yang memetik penjelasan Universiti Al-Azhar semalam.