MP Kota Melaka enggan penuhi tuntutan RM1.5j Rahim
Anggota Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong enggan memenuhi tuntutan permohonan maaf terbuka dan pampasan sebanyak RM1.5 juta yang diminta bekas Ketua menteri Melaka Rahim Thamby Chik.
Rahim membuat tuntutan itu susulan kenyataan Khoo di Facebook pada Disember 2018 yang menyeru agar Bersatu menolak permohonan keahlian bekas ketua Pemuda Umno itu yang dikaitkan dengan pelbagai skandal.
Khoo menyifatkan kenyataan Rahim dalam surat tuntutan itu sebagai fitnah.
"Saya tidak akan memenuhi mana-mana tuntutan Rahim. Saya menafikan semua dakwaan fitnah dan niat jahat yang dibuat di dalam surat tuntutan tersebut.
"Saya akan mengarahkan peguam cara saya untuk menjawab surat tersebut. Saya bersedia untuk mempertahankan diri dan menentang apa-apa tindakan guaman di mahkamah yang mungkin diambil oleh Rahim," kata Khoo dalam kenyataan medianya hari ini.
Rahim, yang menjadi ketua menteri Melaka selama 12 tahun, disiasat atas dakwaan rogol berstatutori terhadap seorang individu bawah umur pada 1994. Kes itu kemudian digugurkan kerana kekurangan bukti.
Lim Guan Eng - anggota parlimen Kota Melaka pada masa itu - dipenjara selama 18 bulan bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1948 kerana mempersoalkan apa yang didakwanya sebagai "tiada tindakan".

Rahim memfailkan saman terhadap DAP atas tuduhan rogol berstatutori itu. Parti itu kemudian menarik balik dakwaan itu selepas mengambil kira pihak yang membuat tuduhan telah menarik balik dakwaannya.
Rahim kemudian membatalkan saman terhadap DAP. Di sebalik tuduhan itu, Rahim tidak pernah disabitkan.
Beliau juga sebahagian daripada 'trio Datuk' yang menayangkan video seks terhadap sekumpulan wartawan pada 2011.
Mereka mendakwa video itu memaparkan Presiden PKR Anwar Ibrahim bersama seorang pelacur. Anwar menafikan dakwaan itu.
Kenapa ambil masa lama?
Sementara itu, dalam kenyataan sama hari ini, Khoo mempertahankan kenyataan di Facebooknya yang dipertikaikan dengan berkata bahawa permohonan Rahim menyertai Bersatu merupakan isu berkepentingan awam kerana menimbulkan persoalan terhadap kredibiliti PH.
Khoo turut mempertikaikan alasan Rahim mengambil masa dua bulan untuk membuat tuntutan itu.
"Adakah Rahim teragak-agak dan mengambil masa yang begitu lama kerana tidak mahu menjejaskan peluangnya untuk menyertai Bersatu?
"Adakah ini bermakna permohonannya untuk menyertai Bersatu telah ditolak dan oleh itu Rahim telah bebas untuk menyaman saya?
"Walau bagaimanapun, saya meyeru agar Bersatu mengambil maklum terhadap tindakan Rahim yang terbaru ini dan menilai sama ada Rahim sesuai untuk menyertai PH," katanya.

