Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jebon' jawab ulama: Sokong PH berdosa kot
Diterbitkan:  Mar 4, 2019 9:42 PM
Dikemaskini: 6:07 PM

Pemimpin Amanah Hanipa Maidin menempelak pandangan seorang ulama yang berkata gerak kerja parti politiknya dalam mengalahkan PH di Cameron Highlands dan Semenyih mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT.

Tanpa menamakan ulama dan parti terbabit, MP Sepang itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Pahang Mokhtar Senik.

"Ada seorang yang dipanggil "ulama" oleh parti ehem ( ehemmmm..) dilapor media berkata parti ehem dapat pahala dengan gerak kerja mengalahkan PH di Cameron Highland dan Semenyih. Mafhum mukhalafahnya ( makna sebaliknya ) ialah sokong PH mungkin berdosa kot.

"Tak tahulah jika "difatwa" jatuhkan kerajaan kleptokrat dulu dikira dosa besar. Dan istiqamah "hembus oksigen" pada rejim kleptokrat mungkin pahala besar.

"Tak arif pula kita lenggok bahasa orang suci muci ini. Ya lah kita ni kan sekadar jebon je," kata Hanipa yang juga timbalan menteri di JPM pada suatu hantaran di Facebook hari ini.

Malam tadi, Mokhtar menyenaraikan beberapa manfaat yang diperolehi parti itu dengan menangnya calon BN di Cameron Highlands dan Semenyih.

Katanya antara faedah yang diperoleh PAS ialah mereka mendapat pahala dengan gerak kerja mengalahkan PH.

Menurut anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu mengalahkan PH adalah sebahagian daripada amalan mencegah kemungkaran yang tarafnya sama penting dengan menegakkan kebaikan.

"Tidakkah anda nampak? PAS dapat menunaikan kewajibannya kepada Allah, iaitu menentang kemungkaran.

"Dengan menunaikan tanggungjawab itu bermakna PAS dapat pahala, petugas PAS dapat pahala, para penderma PAS dapat pahala," katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Lihat Komen
ADS