Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mokhtar: PAS dapat pahala di Cameron Highlands, Semenyih
Diterbitkan:  Mar 4, 2019 3:32 PM
Dikemaskini: 7:36 AM

Sekali pun dianggap tidak mendapat apa-apa manfaat daripada kemenangan calon BN di dua PRK sebelum ini, seorang ulama PAS berpendapat sebaliknya.

Ketua Dewan Ulama PAS Pahang Mokhtar Senik malam tadi menyenaraikan beberapa manfaat yang diperolehi parti itu dengan menangnya calon BN di Cameron Highlands dan Semenyih.

Kata Mokhtar antara faedah yang diperoleh PAS ialah mereka mendapat pahala dengan gerak kerja mengalahkan PH.

Menurut anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu mengalahkan PH adalah sebahagian daripada amalan mencegah kemungkaran yang tarafnya sama penting dengan menegakkan kebaikan.

"Tidakkah anda nampak? PAS dapat menunaikan kewajibannya kepada Allah, iaitu menentang kemungkaran.

"Dengan menunaikan tanggungjawab itu bermakna PAS dapat pahala, petugas PAS dapat pahala, para penderma PAS dapat pahala," katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Kenyataan itu dibuat kurang sehari selepas calon BN yang disokong PAS, Zakaria Hanafi, berjaya merampas semula kerusi DUN Semenyih daripada PH dalam PRK Sabtu lalu.

Ulas komen Mahathir

Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut BN selepas Cameron Highlands. Dalam kedua-dua PRK tersebut PAS bertindak menjadi penyokong BN.

Bagaimanapun untuk rekod pada PRK Semenyih lalu Dr Mahathir Mohamad mendakwa Presiden PAS Abdul Hadi Awang berjanji kepada beliau untuk tidak menyokong BN.

Abdul Hadi sendiri pernah mengakui situasi PRK Cameron Highlands berbeza daripada Semenyih. Pada masa sama PAS juga memberikan sokongan padu kepada Mahathir sebagai perdana menteri.


Baca PAS makin gigih pertahan Mahathir


Menurut Mokhtar PRK Semenyih juga mendedahkan bagaimana sifat taat dan walak anggota PAS semakin kukuh, dan ia menjadi tunjang kekuatan jemaah parti terbabit.

Kata Mokhtar sifat itu tidak ada dalam mana-mana parti sekular di seluruh dunia.

"Bukan senang untuk orang PAS turun membantu Umno yang dimusuhinya selama puluhan tahun.

"Tapi demi walak dan taat kepada pimpinan dan parti, mereka gagahi juga.

"Bukan senang untuk pengundi PAS mahu gerakkan jari mereka mengundi calon BN," katanya yang turut mengepilkan satu tangkap layar keratan berita memaparkan wajah perdana menteri.

Suasana meriah melibatkan penyokong PAS dan BN di Semenyih Sabtu lalu

Mengiringi imej tersebut ialah tajuk berita: Untuk PRK bolehlah... kalau PRU, Pas tak dapat apa - Tun M.

Kata Mokhtar keuntungan yang diperolehi PAS tidak dapat difahami oleh orang lain yang berfahaman sekularisme.

Malah kata bekas calon bagi kerusi parlimen Padang Besar itu, penggunaan perkataan "PAS tak dapat apa" itu juga menunjukkan kejahilah Mahathir terhadap PAS dan perjuangannya.

"Mereka sangka PAS ini sama dengan mereka yang menganut sakularisme. Justeru mereka menyangka PAS kemaruk kemenangan seperti mereka kemarukkannya.

"Mereka sangka PAS mengutamakan Putrajaya lebih daripada Islam sebagaimana mereka. Mereka sangka PAS tergilakan jawatan perdana menteri semacam sebahagian mereka tergilakannya sampai jadi sasau.

"Sebagai sebuah parti Islam, PAS bergerak dan bersikap sesuai dengan panduan Islam.

"Memang betul PAS tak dapat apa pun di Cameron Highlands dan Semenyih. Itu jika ditinjau dari kacamata Tun (Mahathir) yang retak dan kacamata Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang yang kelabu.

"Apatah lagi jika ditinjau dari sudut pandang Mat Sabu yg tak berkaca mata," katanya.

Lihat Komen
ADS