Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Kesungguhan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan mengambil tiga bekas banduan untuk bekerja di pejabatnya melalui inisiatif Projek Reben Kuning dilihat sebagai kesungguhan beliau mengilhamkan harapan Peluang Kedua kepada mereka yang ada sisi gelap dalam kehidupan.

Projek Reben Kuning dilancarkan pada 19 Oktober 2018 merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai plaform dalam mengembalikan kumpulan belia berisiko ke dalam hidup bermasyarakat di samping membina kehidupan baru melalui pekerjaan yang ditawarkan.

Belia merupakan golongan yang kerap terdorong melakukan kesilapan. Perkara ini tidak asing lagi bagi peringkat umur mereka yang sedang meningkat naik ke alam dewasa, bahkan golongan dewasa juga kerap mengalami perkara yang sama seperti mereka.

Perkara ini hampir berkait rapat dengan belia yang seumur hidup mereka terjerumus dalam masalah kewangan, undang-undang, serta pergaulan bebas.

Di dalam masyarakat, kita cepat melabelkan belia berisiko dan bermasalah ini sebagai ‘pembuat masalah’ dan meminggirkan mereka. Walaubagaimanapun, ini adalah pendekatan yang salah dan stigma seperti ini haruslah dihapuskan dari masyarakat kita.

Hari ini, kita akan membincangkan tentang mengapa para belia yang bermasalah berhak mendapat peluang kedua, dan bagaimana ia boleh membawa kepada keputusan yang lebih baik seumur hidup.

Antara sebab terbesar peluang kedua adalah begitu berkesan, bukan sahaja kerana ia membolehkan mereka memperbetulkan kesilapan yang telah mereka lakukan, tetapi juga secara tidak langsung mengajar mereka betapa pentingnya bagi kita untuk memberikan kemaafan.

Kemaafan adalah perkara yang susah untuk dilihat oleh golongan belia yang bermasalah. Ini adalah kerana, golongan ini hanya melihat keganasan, dadah dan perkara-perkara yang tidak seharusnya dilihat oleh kanak-kanak.

Dengan memberikan kemaafan dan peluang kedua buat mereka, ini sedikit sebanyak akan mendorong mereka untuk menjadi yang terbaik dan lebih ke arah melakukan kebaikan.

Dengan ini, masyarakat akan lebih memahami dan akan saling bantu membantu. Ini adalah penting kerana, sekiranya golongan belia bermasalah tidak didedahkan tentang perkara ini, ia akan menyebabkan mereka terjerumus dan bergelumang dengan masalah seumur hidup mereka.

Pilihan yang lain

Kebanyakan belia yang melakukan kesilapan dan terlibat dengan jenayah ini tidak sedar dengan apa yang mereka lakukan kerana mereka hanya memikirkan tentang nafsu dan keseronokkan semata-mata.

Mereka melakukan perkara seperti ini kerana mereka, mungkin ini adalah cara bagi mereka untuk menyesuaikan diri dengan zaman dan rakan seusia yang lain.

Mereka tidak mempunyai pilihan dan cara yang lain. Bagi kita, sekiranya kita tidak memberikan peluang kedua buat mereka, ianya seolah-olah kita adalah batu penghalang bagi mereka dalam mencari identiti diri mereka untuk menjadi yang terbaik dalam masyarakat.

Dengan memberikan peluang kedua dan memberikan tunjuk ajar serta teladan selain daripada menghukum, secara tidak langsung kita menyedarkan mereka bahawa masih banyak peluang dan harapan untuk mereka berubah menjadi lebih baik.

Kita sebagai masyarakat, boleh menunjukkan bagaimana mereka boleh mengasah bakat mereka yang terpendam dan menggunakan bakat yang mereka ada ke jalan kebaikan.

Kita juga boleh membantu mereka mengenal pasti bakat dan kebolehan mereka dan membimbing mereka dalam merancang kerjaya yang lebih menjanjikan masa hadapan yang lebih cemerlang.

Kesan jangka panjang

Penghujungnya nanti, belia yang bermasalah ini, walaupun sebesar mana kesalahan yang mereka lakukan, mereka tetap remaja atau kanak-kanak.

Kita tidak boleh melayan mereka seperti seorang dewasa yang matang. Mereka masih tidak mempunyai kebolehan mengenal pasti perbuatan yang boleh memberi kesan jangka masa panjang.

Setiap orang pernah menjadi muda. Masih ingatkah kita, semasa kita muda kita pernah membuat keputusan dan sewaktu itu adakah kita pernah terfikir tentang baik buruk keputusan itu pada masa akan datang?

Dalam kebanyakan hal, kita tidak memikirkan baik buruk keputusan itu dan melakukan keputusan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan keburukan tentang apa kesan yang akan mendatang.

Ini merupakan salah satu punca mengapa mereka tergolong dalam belia bermasalah. Mereka tidak berfikir panjang tentang apa yang mereka akan hadapi pada masa yang akan datang dan apa kesan buruk yang akan mereka hadapi sekiranya mereka mengambil keputusan yang salah yang akan memberi kesan yang buruk seumur hidup mereka.

Ini menunjukkan betapa pentingnya peluang kedua buat mereka. Mereka perlu diberi kesedaran dan pendedahan tentang kepentingan melakukan keputusan yang tepat sebelum terlambat.

Walaupun masih ramai yang berpendapat bahawa belia bermasalah sebagai belia yang hilang punca, ianya sangat penting untuk kita ingat bahawa sebenarnya mereka hanyalah remaja atau kanak-kanak yang tidak tahu arah tuju kehidupan mereka.

Selain daripada menghukum, memberi pengajaran akan lebih membantu mereka mengenal pasti kesalahan yang mereka lakukan dan memastikan mereka kembali kejalan yang benar untuk mencapai kejayaan.

Justeru, penulis melihat masyarakat termasuk semua sektor pekerjaan perlu tampil menyokong usaha peluang kedua melalui Reben Kuning ini dalam usaha mencapai kesejahteraan bersama.


MOHAMMAD RIZAN BIN HASSAN merupakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Volunteer Malaysia (dahulu dikenali sebagai 1M4U).

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis atau organisasi yang diwakilinya, dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS