DAP hantar memorandum pada Proton minggu depan tuntut penjelasan
DAP akan menghantar satu memorandum kepada Ibupejabat Proton Holdings Bhd minggu depan mengenai mengapa Volkswagen enggan mengadakan persefakatan strategik dengan Proton dan mengenai kerjasama baru syarikat kereta nasional itu dengan Mitsubishi Motors Corp(MMC).
DAP akan menghantar satu memorandum kepada Ibupejabat Proton Holdings Bhd minggu depan mengenai mengapa Volkswagen enggan mengadakan persefakatan strategik dengan Proton dan mengenai kerjasama baru syarikat kereta nasional itu dengan Mitsubishi Motors Corp(MMC).
Dalam memorandum itu nanti, DAP juga mahu mendapatkan jawapan Proton terhadap lapan soalan yang dibangkitkan oleh Penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas CEO Proton, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff, berhubung kerugian RM510 juta daripada penjualan MV Agusta Motors SpA.
Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, keengganan Proton memberi penjelasan yang memuaskan, tidak boleh diterima dan bercanggah dengan kepentingan awam kerana syarikat itu bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia yang memiliki Proton.
Menurutnya, kejatuhan harga saham serendah RM5 mengakibatkan kehilangan RM741.4 juta daripada pemodalan pasaran, adalah tidak memeranjatkan selepas Volkswagen (VW) menamatkan rancangan usahasama dengan Proton untuk membuat dan menjual kereta jenama JW dalam pasaran tempatan.
Katanya, ini berikutan keputusan Proton untuk menjual MV Agusta dengan harga RM4.50 selepas membelanjakan RM 510 juga dalam tempoh kurang setahun (Proton mempunyai modal saham berbayar berjumlah 549.21 juta saham.)
Walaupun saham Proton naik semula ke paras RM 5.45 semalam, tetapi katanya, ianya jelas menunjukkan bahawa pakatan kerjasama baru dengan MMC tidak memberi impak yang diharapkan terhadap harga saham atau keyakinan di kalangan pelabur.
"Proton perlu berdepan dengan alasan sebenar mengapa VW enggan bekerjasama sehingga memaksanya beralih kembali kepada rakan sebelumnya MMC, yang merupakan pilihan kedua.
"Rakyat Malaysia mempunyai hak untuk mengetahui faedah dan kelebihan pemilihan MMC selepas rakan yang menjadi pilihan, telah menolak Proton dan sebab sebenar di sebaliknya supaya Proton tidak terus menerus membazirkan sumber-sumber negara," tambahnya.
Lim juga bertanya mengapa MMC perlu bekerjasama semula dengan Proton selepas ia menjual 7.9 peratus ekuitinya dalam Proton pada 9 Mac 2004.
Produk baru
"Apabila terpaksa bekerjasama dengan Proton selepas tiada syarikat kereta besar lain bersedia berbuat demikian, apakah MMC akan memperolehi faedah yang lebih tinggi daripada Proton.
Kedua-duanya akan bekerjasama dalam bidang pembangunan produk baru kenderaan Proton, membekal komponen kereta, sokongan teknikal pengeluaran, kejuruteraan dan kawalan mutu serta mengoptimakan kemudahan pemasangan Proton.
"Ada sesuatu yang tidak kena dengan Proton sekiranya, selepas 20 tahun dalam industri ini, ia masih tidak mampu mengendalikan sendiri masalah-masalah tersebut dan perlu bantuan rakan lamanya MMC," tambah Lim.
Menurutnya, daripada menguasai 60 peratus pasaran pada 2002, penguasaan Proton merosot kepada 48 peratus dan kemudian 44 peratus dalam 2004.
"Dengan hampir ketiadaan langsung eksport dan pergantungan sepenuhnya kepada pasaran dalam negeri, Proton memerlukan perhatian segera, bukan sahaja daripada pihak pengurusan, tetapi mungkin juga dari Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, malah daripada Perdana Menteri sendiri," tambahnya.
Lim menyarankan, langkah pertama untuk memenangi semula keyakinan ialah bagi Proton mempamerkan ketelusan dan akauntabiliti sepenuhnya.
"Proton mesti menjelaskan mengapa VW menarik diri secara yang memalukan. Proton mesti juga menjawab lapan soalan yang dikemukakan oleh Penasihatnya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas CEOnya, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff berhubung penjualan MV Agusta Motors SpA dengan nilai satu euro," katanya.
Dr Mahathir dan Tengku Mahaleel, dalam satu kenyataan bersama pada 3 Januari lalu, mempersoalkan rasional penjualan keseluruhan pegangan ekuitinya sebanyak 57.75 peratus dalam MV Agusta kepada GEVI SpA dengan harga 1 euro (RM4.50) selepas membelinya dengan harga 70 juta euros atau RM315 juta pada December 2004.
Malah, bantuan kewangan yang disalurkan oleh Proton kepada Agusta telah meningkatkan kerugian kepada RM 510.24 juta seperti yang tertera dalam kenyataan aliran tunai Proton bagi laporan tahunan 2005.
Kepentingan awam
Dr Mahathir dan dan Mahaleel menuntut jawapan tberhubung kerugian Proton kerana merasakan kredibiliti, kejujuran dan integriti mereka telah dipersoalkan kerana mereka menyokong pembelian Agusta.
Atas alasan tersebut, mereka mengemukakan lapan soalan berhubung penjualan Agusta dengan harga hanya 1 euro yang mesti dijawab oleh Proton:-
1. Siapakah yang menawarkan untuk menjual atau siapa yang menawar untuk membelinya pada harga satu euro?
2. Adakah terdapat pembida lain?
3. Adalah terdapat usaha untuk mendapatkan pembeli yang menawar harga lebih tinggi?
4. Adakah dibuat pengumuman mengenai penjualan M.V. Agusta?
5. Jika tidak, adalah Proton hanya menemui seorang pembeli sahaja
6. Jika ada tawaran dibuat pada pembida lain, adakah mereka menolaknya?
7. Siapakah yang sebenarnya membuat keputusan untuk menjualnya?
8. Bolehkan Proton menjelaskan bagaimana penjualan keseluruhan pegangan yang dibeli pada harga 70 juta euro dengan harga satu euro akan tidak mengakibatkan Proton kerugian sepertimana yang didakwa?
Ketika mengumumkan kerugian bersih Proton sebanyak RM154.33 juta bagi suku tahun kedua berakhir pada 30 September 2005, Pengerusi Datuk Mohammed Azlan Hashim berkata, pada 29 November 2005, hutang dan kerugian terkumpul MV Agusta telah menjejaskan kedudukan kewangan Proton sejak ia membelinya pada Disember 2004.
Diskaun jualan
Dr Mahathir dan Tengku Mahaleel juga mempersoalkan mengapa pinjaman Agusta yang mengakibatkan Proton mengalami kerugian bersih sebanyak RM154.3 juta bagi suku tahun kedua berakhir pada 30 September 2005.
Menurut Limn lagi, Proton telah membuat peruntukan sebanyak RM160.7 juta bagi suku tahun tersebut di mana RM90 juta daripadanya unit motosikal Itali itu.
"Kedua-dua telah membuat andaian yang diskaun yang diberi kepada pembeli bagi 54,000 kerta Proton dalam tempoh tiga bulan, telah menyebabkan Proton kehilangan pendapatan RM108 juta, tetapi tidak pernah dijawab oleh Proton.
"Memandang Khazanah Malaysia, badan pelaburan kerajaan Malaysia, yang memegang kira-kira 38 peratus ekuiti dalam Proton dan juga pelabur majoriti lain adalah rakyat Malaysia, maka jawapan diperlukan demi kepentingan awam.
"Proton mempunyai kewajipan untuk menjawab semua soalan mengenai kegagalan rundingan dengan VW dan lapan persoalan yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir dan Mahaleel mengapa pelaburan RM 510 juta dalam Agusta tinggal kosong dalam tempoh kurang setahun," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.