Tiada wang...tapi main golf di Afrika, memancing di Mauritius
Terjemahan Jika berdepan dengan masalah kewangan, perkara paling logik untuk dilakukan ialah mengurangkan perbelanjaan. Tetapi Majlis Perbandaran Selayang (MPS) nampaknya menemui alternatif lain.
Terjemahan Jika berdepan dengan masalah kewangan, perkara paling logik untuk dilakukan ialah mengurangkan perbelanjaan. Tetapi Majlis Perbandaran Selayang (MPS) nampaknya menemui alternatif lain.
Belanja RM240,000 untuk apa yang dipanggil sebagai lawatan sambil belajar ke seberang laut, dan semasa di sana, menginap di hotel mewah, main golf dan memancing.
Isnin lalu, akhbar The Sun melaporkan, lawatan sembilan hari ke Mauritius dan South Africa itu, diketuai Presiden MPS, Zainal Abidin Azim (kiri). Beliau pergi bersama 14 anggota majlis dan 10 ketua jabatan.
Difahamkan, Setiausaha MPS, Jamri Basni ikut serta dalam rombongan tersebut yang berlepas pada 31 Januari dan dijangka pulang hari ini.
Mengikut akhbar tersebut, lawatan itu membabitkan kos perbelanjaan RM10,000 seorang dan mereka yang pergi akan membayarnya balik melalui potongan RM500 sebulan daripada elaun mereka.
Ketika ada kontraktor yang bersungut mereka tidak dibayar majlis tersebut atas alasan kekurangan wang, akhbar berkenaan melaporkan, MPS telah membayar terlebih dahulu perbelanjaan lawatan tersebut.
Jalan berlubang?
Ketika anggota majlis "mengadakan lawatan sambil belajar", para pembayar cukai di Selayang mengadu keadaan jalan yang berlubang dan pelbagai masalah lain lagi.
"Mengapa MPS mendahulukan wang untuk lawatan itu?" tanya seorang pembayar cukai, Koh Swee Yong.
"Suku juta ringgit adalah jumlah yang banyak dan jika disimpan di bank, dapat bayaran faedah yang banyak yang menjadi hak rakyat," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, anggota majlis sepatutnya mengadakan 'lawatan belajar' untuk meninjau jalan-jalan yang berlubang dan masalah lain di kawasan mereka.
Mengenai pembayaran balik itu, Koh, yang juga Naib Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) berkata, mereka yang menyertai lawatan itu akan mengambil masa 20 bulan untuk menyelesaikan bayarannya.
Bagaimanapun, beliau tidak yakin lawatan itu hanya membabitkan perbelanjaan RM10,000 bagi setiap peserta.
"Dengan mengambil lawatan itu selama sembilan hari dengan (dilaporkan) menginap di hotal lima bintang, saya sangsi RM10,000 itu jumlah sebenarnya," katanya.
Kelas penerbangan
Menurut satu lagi laporan dalam akhbar berbahasa Cina Sin Chew Daily hari ini, anggota majlis MPS ,Goh Ah Ling, yang tidak mengikuti lawatan tersebut, berkata sesetengah daripada mereka yang "berstatus tinggi" mengambil penerbangan kelas pertama.
Semakan dengan Malaysia Airlines (MAS) menunjukkan tiket penerbangan kelas 'business' ke Johannesburg berharga RM18,370.
Ketika dihubungi hari ini, anggota majlis MPS, Yip Kum Fook berkata, MPS biasanya membayar terlebih dahulu perbelanjaan bagi lawatan seumpama itu dan memotong elaun mereka kemudiannya.
Anggota majlis yang berkhidmat untuk dua tahun, biasanya memperolehi elaun bulanan di antara RM600 dan RM700.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai jadual lawatan tersebut yang dikatakan termasuk bermain golf dan memancing, Yip berkata beliau tidak tahu mengenainya kerana tidak dapat ikut sama kerana ada komitmen lain.
Tahun lalu, lawatan yang sama ke Mesir anjuran Jawatankuasa Kira-kira Awam Selangor, turut mencetuskan bantahan, berikutan pendedahan ia termasuk menyaksi persembahan tarian gelek di atas kapal. Berita asal


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.