Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Isu cek RM1.4 juta: Rameli serah dokumen pada SPRM
Diterbitkan:  Mar 5, 2019 4:35 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Rameli Musa yang dikaitkan dengan pembayaran cek RM1.4 juta kepada Editor Sarawak Report hari ini menyerahkan satu dokumen bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu itu.

Ketika ditemui pemberita selepas memberi keterangan selama kira-kira lima jam di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini, pengerusi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) itu berkata beliau berpuas hati dengan proses merakam kenyataannya yang menjurus kepada isu cek RM1.4 juta.

"Saya juga serahkan satu dokumen berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya sebelum bergerak meninggalkan perkarangan bangunan itu.

Rameli yang dikaitkan dengan pembayaran cek RM1.4 juta kepada Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown bagi penyelesaian luar mahkamah kes saman Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tiba di ibu pejabat SPRM itu pada 9.55 pagi dengan menaiki kereta Toyota Vellfire berwarna hitam.

Rameli berkata beliau tidak pasti sama ada akan dipanggil lagi bagi memberi keterangan berhubung kes itu.

Sementara itu, bekas exco kerajaan negeri Selangor Zaidy Abdul Talib dan seorang petugas di ibu pejabat PAS Mohd Khoirul Anwar Mat Zuki yang turut dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaan pemimpin PAS menerima dana RM90 juta daripada 1MDB yang diberi Umno, enggan memberikan kenyataan kepada pihak media.

Mereka berdua yang dilihat memasuki bangunan SPRM bersama pada kira-kira 10 pagi, dikatakan meninggalkan perkarangan bangunan itu ketika media sedang menemui Rameli.

Beberapa individu telah dipanggil SPRM berhubung kes dana RM90 juta itu antaranya Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

- Bernama

Lihat Komen
ADS