Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) perlu melalui jangka masa yang tertentu sebelum ia dikenali sebagai sebuah badan yang bebas daripada pengaruh mana-mana pihak, kata penasihat badan hak asasi Indonesia.

Penasihat Komisi Nasional Hak Asasi Manusia Indonesia (Komnas Ham) Marzuki Darusman berkata pandangan tersebut adalah berdasarkan pengalaman yang dilalui oleh Komnas Ham sendiri.

"Pada awal enam bulan yang pertama, badan itu (Komnas Ham) dilihat sebagai pro-kerajaan, kemudian ia dikatakan berpihak kepada NGO (pertubuhan bukan kerajaan), selepas itu kepada pihak-pihak tertentu yang lain dan kini ia telah dilihat sebagai badan bebas," katanya yang hadir di 'Seminar untuk Media' sempena Hari Hak Asasi Manusia Malaysia di pejabat Suhakam, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Di seminar itu Marzuki membentangkan kertas kerja bertajuk 'Amalan Hak Asasi dan Demokrasi: Dalam Konteks Indonesia'.

Berdasarkan fakta

Beliau yang pernah menjadi pengerusi Komnas Ham pada 1998 berkata, lama kelamaan masyarakat akan memahami fungsi sebenar badan hak asasi.

"Masyarakat akan melihat tanggunjawab badan itu dan membezakannya daripada organisasi pemerintahan yang ada sementara kerajaan pula akan menerimanya sebagai sebahagian daripada kehidupan," katanya.

"Peranan sebenar badan asasi itu akan disedari semua pihak kerana segala tindakan dan keputusan yang dibuat olehnya adalah berdasarkan fakta," kata beliau yang juga ahli Majelis Permusyawaratan Rakyat Indonesia (MPR) mewakili parti Golongan Karya (Golkar).

Komnas Ham telah ditubuhkan sejak 1993 dan dianggotai oleh empat pemimpin yang dilantik, 17 orang sub-pesuruhjaya dan tiga penasihat. Ahlinya terdiri daripada mereka yang berpengalaman sebagai hakim, anggota polis, tokoh agama dan tokoh masyarakat.

Manakala Suhakam pula telah ditubuhkan pada 1999 melalui Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia yang digubal oleh Parlimen. Ia dianggotai 12 pesuruhjaya yang dipilih, diketuai oleh Tan Sri Musa Hitam yang juga pengerusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (UNCHR) yang ke 52.

Ruang kritikan

Menjawab satu soalan lain, Marzuki memberitahu kebebasan akhbar di Indonesia telah memberi ruang kritikan terhadap kerajaan dan pemimpin negara itu.

"Masalah timbul apabila akhbar bukan saja melaporkan berita tetapi turut mereka-reka berita. Bagaimanapun itu bukanlah masalah besar kerana 'populariti' dalam politik di Indonesia memang dicari oleh ahli politiknya," katanya.

Menurutnya, masalah berita "kurang tepat" itu dapat ditangani oleh berita daripada media elektronik di negara itu yang dari segi kandunganya mempunyai lebih kredibiliti.

Polis lebih tegas, pantas

Selain itu, menurut Marzuki, di Indonesia rakyatnya boleh membuat perhimpunan tanpa permit sekiranya jumlah penyertaan perhimpunan itu tidak melebihi 50 orang.

"Bagaimanapun, sekiranya lebih dari itu permit daripada pihak berkuasa diperlukan. Dan organisasi yang menganjurkan perhimpunan itu perlu bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku," katanya.

Menyentuh peranan pihak polis di Indonesia, beliau berkata pihak berkuasa itu kini bersikap "lebih tegas".

"Semasa pemerintahan Gus Dur, pihak polis dilihat sebagai lebih 'liberal' dan bekerjasama berbanding keadaan kini yang mana mereka 'rigid'," katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, pihak polis kini lebih pantas bertindak dalam menjalankan urusan mereka.

"Contohnya, dalam menangani sesuatu kes, urusan siasatan akan diselesaikan dengan lebih cepat dan kemudian diserahkan ke mahkamah untuk tindakan segera," katanya.