Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden PKR Anwar Ibrahim meminta anggota partinya menghormati semangat Pakatan Harapan (PH) terutama dalam soal kepimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Anwar berkata demikian ketika mengulas kenyataan adun Batu Uban dari PKR A Kumaresan yang mencadangkan agar beliau segera menggantikan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Beliau membangkitkan kesepakatan dalam PH dan pendirian PKR yang menyokong kepimpinan Mahathir.

"Saya akan nasihatkan ahli parti, termasuk adun, agar menghormati semangat PH dan pendirian PKR - pertamanya untuk menyokong kepimpinan Mahathir," katanya.

Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kaukus reformasi dan tadbir urus parlimen di Dewan Rakyat.

Dalam kenyataan semalam, Kumaresan berkata gesaan itu agar PH dapat menentukan hala tuju di masa depan.

Katanya lagi, PH perlu mengambil tindaakn segera untuk memperbetul kesilapan yang telah mengundang kemarahan rakyat susulan kekalahan di dua PRK, iaitu Cameron Highlands dan Semenyih.

Gesaan itu dikritik pemimpin Bersatu Pulau Pinang yang berkata Mahathir tidak boleh dipersalahkan atas kekalahan itu, sebaliknya ia tanggungjawab bersama PH.

Dalam soal berlainan, Anwar berkata antara perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat kaukus adalah representasi oleh Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Abu Kassim Mohamed berhubung Pelan Antiasuah Nasional dan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berkenaan dakwaan salah laku kehakiman.

Ditanya berkenaan RCI, Anwar berkata soalan itu patut ditanya kepada Mahathir.

Beliau bagaimanapun menyuarakan harapan agar terma rujukan RCI itu akan dapat melindungi integriti kehakiman dan melihat setiap dakwaan yang pertama kali didedahkan Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer bulan lalu.

Lihat Komen
ADS