Tidak ada halangan untuk Dr Ahmad Zahid Hamidi kembali bertugas sebagai presiden Umno, kata Mohamad Hasan yang kini menjalankan tugas bekas timbalan perdana menteri itu.

Kata Mohamad, sehingga anggota parlimen Bagan Datuk itu kembali, beliau akan terus menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya.

Sebelum itu Mohamad ditanya mengenai tempoh percutian Ahmad Zahid.

Kata Mohamad Umno tidak ada menetapkan sebarang tempoh untuk Ahmad Zahid bercuti.

“Terpulang kepada beliau, bila beliau rasa nak balik ataupun untuk kembali semula menjalankan tugas presiden,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Mohamad sebelum itu mengetuai pemimpin Umno meraikan kedatangan delegasi PAS untuk kedua-dua parti mengadakan perbincangan mengenai kerjasama mereka secara rasmi.

PAS diketuai timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man. Antara pemimpin kanan lain yang menyertai beliau ialah Ketua Dewan Ulama PAS Dr Mahfodz Mohamed, setiausaha agung Takiyuddin Hassan dan ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Pertemuan tersebut diadakan di Ibu Pejabat Umno.


Baca Tempoh Zahid bercuti ikut kasyaf ulama


Untuk rekod Ahmad Zahid membuat keputusan bercuti dan menyerahkan tugasnya sebagai presiden Umno dan pengerusi BN pada 18 Dis tahun lalu.

Keputusan itu diambil beliau selepas mendapat tekanan dalaman Umno sendiri, termasuk daripada pemuda parti tersebut.

Lebih lantang memberi tekanan kepada Ahmad Zahid ialah bekas ketua pemuda Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Antara lain alasan diberikan Khairy ialah tindakan Ahmad Zahid mengadakan hubungan baik dengan PAS.

Selain itu kes mahkamah melibatkan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa yang dikenakan ke atas Ahmad Zahid turut menjadi alasan mengapa beliau perlu berundur seketika.

Untuk rekod setakat ini Ahmad Zahid sudah dikenakan 47 tuduhan di mahkamah.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata pemilihan bagi jawatan tertinggi Umno itu telah diputuskan dan disepakati oleh anggota partinya.

“Pemilihan parti dibuat oleh ahli parti dan bukan melalui (cakap-cakap) netizen atau Whatsapp.

“Jadi, pemilihan telah dijalankan dan kita dah ada presiden, saya pula timbalan presiden. Sekarang presiden sedang berehat sekejap dan saya jalankan tugas-tugas presiden.

“Parti sendiri tak ada masalah (dengan situasi sekarang) dan parti berjalan macam biasa,” katanya.

Usah pandang ringan

Sementara itu, diminta mengulas perkembangan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Rantau, Mohamad berkata komposisi kaum di DUN tersebut bukan jaminan untuk mana-mana parti bertanding memperoleh kemenangan mudah.

Jelas Mohamad yang juga penyandang kerusi DUN Rantau, situasi itu menyebabkan beliau yang akan menjadi calon BN dan calon PH perlu bekerja kuat dalam PRK tersebut.

“Saya khususnya akan mempertahankan kerusi tersebut perlu bekerja lebih kuat dan tertib. Sudah tentu saya bersedia dan seperti saya cakap bahawa saya tak akan lari, saya tak akan lari.

“Itu kampung saya tempat saya membesar sekolah dan lahir di situ. Tak akan saya nak lari,” katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di ibu negara hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata beliau berharap calon lawan akan bertanding secara matang dan memberi peluang kepada masyarakat memilih secara demokrasi.

“Apa rakyat pilih itu yang akan mewakili mereka. Kita tak perlu melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam peraturan pilihan raya,” katanya.

Tambah Mohamad, meskipun BN memenangi dua PRK baru-baru ini dan melihat sokongan akar umbi terhadap Umno dan BN menggalakkan, namun beliau tetap harus berhati-hati.

“Tak boleh pandang ringan walaupun tak sehebat dijangkakan tapi saya tak boleh pandang ringan. Perlu berhati-hati dan bekerja kuat untuk pastikan kerusi Rantau kekal milik BN,” katanya.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan menang tanpa bertanding di DUN Rantau pada PRU lalu apabila Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada 16 November lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Mohamad tidak sah dan terbatal dan mengarahkan pilihan raya semula diadakan.

Sebelum ini Wanita PKR menggesa anggotanya diletakkan sebagai calon PRK itu dan telah mempunyai tiga nama untuk dipertimbangkan.