Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setiausaha Agung BN, Nazri Aziz berkata beliau akan tetap hadir mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadualkan Jumaat ini, walaupun MCA dan MIC membayangkan untuk tidak akan hadir mesyuarat berkenaan jika MP Rengas itu menyertainya.

“Janganlah begitu. Datanglah dan saya akan datang. Saya tiada masalah untuk berdepan (MIC dan MCA). Jadi, saya akan datang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Nazri diminta mengulas pendirian MIC dan MCA yang berkata tindakan tersebut akan diambil demi mengelakkan sebarang pertikaian dari segi undang-undang dan kesahihan mesyuarat tersebut jika ia dihadiri pemimpin Umno itu.

Dalam suatu kenyataan bersama, Presiden MCA Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, S A Vigneswaran menegaskan pelantikan Nazri sebagai setiausaha agung BN adalah tidak mengikut perlembagaan yang ada.

"Oleh yang demikian, kedua-dua parti menyampaikan pendirian yang jelas kepada Urusetia BN bahawa Nazri tidak layak untuk menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadualkan Jumaat ini," kata kenyataan itu.

Kata dua pada Tok Mat

Walaupun tidak menamakan sebarang tokoh dalam kenyataan tersebut, Wee dan Vigneswaran boleh dianggap memberikan kata dua kepada pemangku presiden BN, Mohamad Hasan.

Kata mereka pendirian tersebut diambil demi mengelakkan sebarang pertikaian dari segi undang-undang dan kesahihan mesyuarat tersebut jika ia dihadiri Nazri.

Mengulas lanjut, Nazri yang juga bekas menteri kabinet era BN berkata perkara tersebut akan dibincangkan Jumaat ini.

"“Pelantikan (setiausaha agung BN) tak sah? Kalau tak sah tiada masalah, saya berhentilah. Ia mesti ikut undang-undang.

“Tapi tak apalah, kita bincang Jumaat nanti,” katanya ringkas.

“Tak apalah, kita bincang Jumaat nanti,” katanya ringkas.

Ketegangan antara MCA dan MIC dengan Umno meruncing selepas kedua-dua komponen BN itu mendesak supaya Nazri dipecat.

Ia adalah reaksi kedua-dua parti terbabit selepas Nazri dilaporkan menyarankan supaya sekolah Cina dan Tamil ditutup.

Nazri kemudiannya menafikan mahu sekolah-sekolah vernakular ditutup, sebaliknya mendakwa kenyataan dibuat beliau sebelum ini disalah tafsir.

Lihat Komen
ADS