Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rais: Persandingan PAS-Umno sumbang mahram
Diterbitkan:  Mar 6, 2019 10:25 AM
Dikemaskini: 2:33 AM

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Rais Hussin Mohamed Ariff menyifatkan 'persandingan' PAS dan Umno sebagai "sumbang mahram".

"Perkahwinan politik PAS dan Umno adalah sumbang mahram. Ia melibatkan dua keturunan yang tercemar mengahwini satu sama lain untuk menutup perkara yang memalukan," katanya.

Rais berkata demikian sebagai merujuk kiasan yang dibuat oleh Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang  menyifatkan pertemuan kedua-dua parti di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur semalam sebagai 'persandingan'.

Menjelaskan hujahnya, Rais berkata PAS bermula sebagai unit biro agama dalam Umno sebelum berpecah.

"(Namun) PAS tetap cuba 'menyusu' dengan Umno apabila (bekas mursyidul Am PAS) Nik Abduk Aziz Nik Mat meninggal dunia pada 2014.

"Pada 2015-2018, RM90 juta didakwa bertukar tangan," katanya merujuk dakwaan penyaluran dana oleh Umno kepada PAS yang kini sedang disiasat.

Untuk rekod, PAS konsisten menafikan dakwaan penyaluran dana berkenaan.

Tambah Rais, dalam Islam, apabila seorang bayi menyusu pada ibu lain, bayi itu diharamkan daripada mengahwini anggota keluarga ibu berkenaan.

Rais juga menyifatkan kemenangan BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Semenyih memberi semangat kepada kedua-dua parti itu untuk "menghalalkan apa yang haram".

"Umno dan PAS bersedia untuk melahirkan anak haram dari perkahwinan politik mereka yang dilangsungkan bagi kepentingan kedua-dua pihak.

"[....] PH tidak dibina dalam sehari. Ia tidak akan dimusnahkan oleh gabungan haram. Sebaliknya, PAS dan Umno menjadikan PH lebih kuat, tidak semestinya dalam setiap PRK, tapi dalam setiap pilihan raya umum akan datang," katanya.

Pada sidang media selepas pertemuan PAS dan Umno semalam, Mohamad secara berkias berkata "persandingan" kedua-dua parti itu bermula lama sebelum PRK Semenyih.

Mohamad mengibaratkan kerjasama PAS dan Umno dalam PRK Sungai Kandis sebagai proses merisik, sementara di PRK Seri Setia merupakan majlis 'bertunang'.

"Sekarang ni kita dah kenduri kahwin dah ni, dah rasmi dah. Sebab tu kita buat macam ni, (secara) rasminya... merasmikan jawatankuasa induk. Kita ni dah bersanding dah ni," kata pemangku presiden Umno itu.

Lihat Komen
ADS