Kedah, selaku tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) ke-XI pada Mei dan Jun ini, bercadang mengenakan bayaran perkhidmatan RM100 bagi setiap atlit, selain deposit penginapan sebanyak RM10,000 bagi setiap kontinjen yang menyertai sukan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Othman Aziz berkata, bayaran itu bagi menampung kos penginapan RM10 dan makan RM26 sehari bagi seorang atlit manakala deposit penginapan akan dipulangkan selepas sukan itu berakhir.

Perkara ini akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada di sini pada 6 Mac ini, katanya kepada Bernama hari ini.

Othman berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Azalina Othman Said serta dalam taklimat yang dihadiri semua Pengarah Majlis Sukan Negeri di Alor Star pada Oktober tahun lalu.

Sejak Sukma diadakan pada 1988 setiap atlit hanya dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM20. Jika cadangan Kedah itu diterima, ini bermakna setiap negeri perlu membayar RM120 bagi seorang atlitnya.

Baiki kerosakan

"Kita membuat cadangan ini bagi mengurangkan kos pengurusan sekretariat dan bagi negeri-negeri mendaftarkan hanya atlit terbaik dan berpotensi," kata Othman.

Katanya, rasional mengenakan deposit bagi menggunakan kolej penginapan di Universiti Utara Malaysia dan Universiti Institut Teknologi Mara adalah sebagai jaminan untuk mengelak vandalisme dan kerosakan oleh atlit tidak berdisiplin.

"Deposit itu bagi tujuan membaik pulih jika berlaku kerosakan dan bakinya akan dipulangkan kepada kontingen terbabit selepas itu," kata Othman.

Hampir 10,000 orang termasuk 6,300 atlit dan selebihnya pegawai akan terlibat dalam sukan itu yang akan berlangsung dari 24 Mei hingga 4 Jun di enam daerah.