Polis hari ini memulakan siasatan terhadap Sarawak Tribune kerana menyiarkan semula lakaran Nabi Muhammad dengan menyoal seorang editornya yang didakwa bertanggungjawab memasukkan karikatur itu dalam keluaran akhbat itu Sabtu lalu.

Pesuruhajaya Polis Sarawak Datuk Talib Jamal berkata polis bagaimanapun menghadapi kesukaran menghubungi beberapa pegawai atasan akhbar itu untuk mengambil keterangan mereka.

"Kami perlu mendapatkan setiausaha syarikat untuk meminta mereka ini datang ke pejabat Jabatan Siasatan Jenayah pagi ini," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan tugas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak.

Pada majlis itu, bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Abang Wahap Abang Julai, yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) di Bukit Aman berkuatkuasa 2 Feb lepas, menyerahkan tugas kepada SAC1 Kuik @ Harris Anik, yang sebelum ini mengetuai bahagian pengurusan di Sabah.

Talib berkata, menerusi setiausaha syarikat kumpulan akhbar itu, polis mendapat maklumat mengenai struktur pertubuhan dan nama anggota-anggota lembaga pengarah, ketua pengarang dan pegawai kanan yang lain akhbar itu.

Kumpul bukti

Menurut laporan Bernama, ketika ditanya sama ada polis akan menggunakan Akta Hasutan 1948 dalam siasatannya, beliau berkata polis akan melihat daripada semua aspek.

Tanpa menyatakan bila siasatan dapat diselesaikan, Talib berkata polis perlu mengumpul segala bukti kukuh sebelum menyediakan laporan kepada pihak pendakwaan.

Satu laporan polis telah dibuat oleh Majlis Islam Sarawak mengenai lakaran di akhbar itu yang diceduk daripada karikatur asal dalam sebuah akhbar Denmark. Penyiaran lukisan Rasullullah oleh akhbar Denmark itu telah mencetuskan kemarahan umat Islam di serata dunia.

Editor Sarawak Tribune yang didakwa bertanggungjawab menyiarkan lakaran itu, Lester Melanyi, 41, memberi keterangan di Balai Polis Satok pada jam 9.45 pagi tadi.

Lester, yang diiringi isiterinya, Winnie Joseph, berada di situ selama dua jam. Beliau enggan bercakap kepada pemberita.