Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Semenyih yang baru kira-kira sembilan bulan dipegang Pakatan Harapan (PH) - menerusi Bersatu - telah dirampas kembali oleh BN pada 2 Mac lalu. Selain faktor penyatuan Umno-PAS, sebahagian pihak menyifatkan tewasnya PH berpunca daripada persepsi mereka gagal melunaskan janji manifestonya.

Semenjak tampuk kepimpinan negara bertukar, isu manifesto acap kali didengungkan oleh pembangkang, khususnya BN, untuk membentuk naratif rakyat memilih PH bukanlah kerana endemik rasuah dalam BN, sebaliknya kerana terpedaya dengan janji bulan dan bintang yang diikrarkan PH.

Dari sudut pandang demokrasi, kritikan pembangkang terhadap kegagalan kerajaan ini sihat, bahkan lebih baik jika dibandingkan dengan kritikan berunsur perkauman. Kritikan berdasarkan idea pastinya lebih bermanfaat dan konstruktif dalam pembinaan negara.

Bagaimanapun PH dilihat tidak mengambil langkah yang tegas dan tuntas dalam melaksanakan janji mereka walaupun itulah kritik utama pembangkang. Apakah tindakan memang diambil, hanya rakyat yang tidak mengetahuinya?

Berdasarkan wawancara Bernama News Channel bersama anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Rais Hussin 2 Mac lalu, beliau memaklumkan PH telah melaksanakan 28 daripada 60 janji yang terkandung dalam Buku Harapan, dan sedang berusaha yang selebihnya.

 Apakah 28 janji yang telah dilaksanakan itu? Apakah yang belum dilaksanakan dan apa sebabnya? Rakyat tidak didedahkan dengan perincian mengenai perkembangan janji yang telah dilaksanakan. Bahkan ramai yang mengganggap PH langsung tidak menunaikan janjinya semenjak bertakhta di Putrajaya.

Rakyat dan pembangkang tidak boleh disalahkan jika mereka mengatakan PH mungkir janji, meskipun jika hakikatnya tidak. Pasukan komunikasi strategik PH yang bertanggungjawab menyalurkan maklumat dalam soal itu telah gagal menjalankan tugasnya.

Komunikasi strategik - melalui media arus perdana dan sosial - antara kerajaan dan rakyat amat penting. Antara sifat wajib para nabi adalah tabligh, yakni menyampaikan.

Para nabi diwajibkan untuk menyampaikan segala maklumat sahih kepada umatnya untuk memastikan mereka tahu mengenai ajaran dan tidak salah faham. Inilah sifat yang wajar dicontohi oleh kerajaan sekarang.

Kerajaan perlu menjernihkan kekeruhan persepsi dan menamatkan penularan khabar angin yang. Kementerian yang bertanggungjawab perlu menjelaskan apakah janji manifesto yang telah dilaksanakan, sedang diusahakan, belum bermula, dan janji yang telah dilanggar.

Ini semua sebahagian daripada amallan ketelusan yang wajar diterapkan dalam landskap politik 'Malaysia Baru'.

Bagi janji-janji yang kelihatan mustahil untuk dilaksanakan, ia tidak wajar diabaikan terus. Jika kedaaan tidak mengizinkan janji itu ditunaikan, ia mestilah digubal semula dan disesuaikan dengan konteks ekonomi dan politik semasa.

Sarjana Muslim abad ke-13, ‘Izz al-Din ibn Abd al-Salam dalam kitabnya Qawa‘id al-Ahkam fi Masalih al-Anam menyebutkan: idha daq al-amr ittasa‘ (apabila keadaan menyempitkan, maka tafsiran hukum mesti diperluas).

Dalam Islam, apabila seseorang itu berada dalam satu keadaan yang menyempitkan, hukum asal yang dikenakan ke atasnya boleh diperluaskan. Dalam hal ini, pendekatan berhubung manifesto mesti diperluas dan beberapa elemen boleh dikompromi demi tujuan akhir untuk mencapai maslahat rakyat.

Pengubahsuaian ini boleh difahami kerana manifesto ditulis berdasarkan sentimen dan maklumat yang tersedia semasa kempen pilihan raya. Apabila ada maklumat lain dan keadaan berubah, wajarlah ia digantikan dengan sesuatu yang mirip dengannya. Kerajaan perlu menjelaskan jika ada manifesto yang diubah suai dan apakah sebabnya.

Kesimpulannya, PH perlu membina komunikasi strategik yang berkesan sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat. Ia bagi menjelaskan perkembangan manifesto dan respons terhadap beberapa salah faham, misalnya apa yang dikatakan sebagai janji penurunan hargap petrol kepada RM1.50 seliter yang sebenarnya tidak pernah ada dalam Buku Harapan.

Apa yang penting adalah tekad politik oleh kerajaan untuk merealisasikan semua janji ini. Dalam The Alchemist, Paulo Coelho berpesan bahawa jika ada kemahuan yang ampuh, pasti ada jalan untuk merealisasikan setiap impian.

Allah SWT menjanjikan ganjaran buat mereka yang berusaha menunaikan janji, seperti firman-Nya dalam surah Al-Fath ayat 10: “barangsiapa yang melanggar janji maka akibatnya akan menimpa dirinya sendiri, dan barangsiapa menepati janjinya kepada Allah, maka akan diberikan kepadanya ganjaran yang besar.”


HILMAN FIKRI AZMAN merupakan pegawai penyelidik di EMIR Research, sebuah badan pemikir yang berfokuskan penyelidikan polisi berteraskan data, ditunjangi nilai-nilai konsultasi, moderasi, inovasi dan kerapian.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS