Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Keadaan di wilayah Kashmir yang kembali tegang bulan lalu sejak pengeboman bunuh diri oleh militan di bahagian wilayah yang dikuasai India yang membunuh sekurang-kurangnya 40 anggota separa polis India.

Sehari kemudian Pakistan kemudian menembak jatuh dua pesawat India selepas ia dikatakan memasuki ruang udara Pakistan.

Pada satu sisi lain, Kashmir yang menawarkan pemandangan indah merupakan antara destinasi pelancongan utama warga Malaysia.

Perkembangan terbaru di sana menjejaskan kegiatan pelancongan yang memberikan keuntungan kepada wilayah itu dan penduduknya.

Pengasas syarikat pelancongan di Kashmir, Mohammed Latiff Badyari berkata, perniagannya mencatatkan kerugian selepas pelancong - termasuk dari Malaysia - membatalkan percutian mereka susulan ketegangan di sana.

Latiff

"Ramai orang Malaysia yang bimbang dan kami sedang berusaha untuk memaklumkan keadaan di Kashmir selamat.

"Setakat ini sejumlah 25 warga Malaysia telah membatalkan percutian yang ditempah mereka," katanya ketika dihubungi Malaysiakini menerusi Whatsapp.

Pelancongan menjadi sektor penting di wilayah itu.

Menurut laporan Hindustan Times pada 22 Jun 2017, pelancongan menyumbang lapan peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jammu dan Kashmir (bahagian wilayah yang ditadbir India).

Menurut laporan itu lagi, ia memberikan pekerjaan kepada 100,000 penduduk dan sejumlah 1,299,112 pelancong berkunjung ke sana pada 2016.

Muhammad Aadil Matto, 28, pula memaklumkan kedai di sebahagian kawasan di Kashmir diarahkan tutup sehingga keadaan kembali aman sebagai langkah pihak berkuasa untuk meningkatkan keselamatan.

"Kami diarahkan untuk menutup kedai dan tak dibenarkan berniaga sehingga keadaan dilaporkan aman.

"Ini menjadi salah satu faktor merosotnya jumlah pelancong yang akhirnya menjejaskan pendapatan kami," kata yang merupakan peniaga kraftangan.

Pada 27 Februari lalu, Wisma Putra mengeluarkan kenyataan yang menasihati warga Malaysia agar menangguhkan perjalanan ke Pakistan dan India, terutama di kawasan yang paling terkesan daripada konflik.

Syarikat penerbangan Air Asia juga telah mengeluarkan amaran perjalanan melibatkan destinasi di utara India.

Menurut laporan laman berita RT hari ini, India mendakwa Pakistan menyerang kawasannya di sepanjang garisan kawalan (Line of Control, LoC) di Kashmir, manakala Pakistan mendkwa India mencabuli gencatan senjata.

Javid

Jurulatih ski Kashmir, Javid Ahmad Sheikh bagaimanapun berkata pelancong tidak perlu risau dengan konflik di wilayah itu yang sudah berlanjutan sejak sekian lama.

"Konflik antara Pakistan dan India di Kashmir sudah berlaku sejak 1947 (perpisahan antara India dan Pakistan). Suasana di sini tenang, tiada apa yang perlu dirisaukan.

"Sepanjang konflik, saya tidak pernah mendengar apa-apa serangan terhadap pelancong," katanya.

Nazir

Pemandu pelancong Nazir Ahmad Chachoo berkata dia maklum dengan keputusan kerajaan Malaysia yang meminta rakyat menangguhkan perjalanan.

Bagaimanapun, katanya lagi, keadaan di Kashmir tidaklah seburuk yang dilaporkan media.

Saya masih terus berniaga dan masih ramai orang Malaysia yang menunjukkan minat untuk ke sini," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS