Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng pertahan kenyataan PAS, Umno 'sasarkan' bukan Islam
Diterbitkan:  Mar 7, 2019 2:38 PM
Dikemaskini: 7:36 AM

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng enggan menghiraukan kritikan pemimpin BN yang mengecamnya selepas mendakwa PAS dan Umno kini "menyasarkan" golongan bukan muslim.

"Sila baca versi yang sudah diperbetulkan," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur ketika diminta mengulas perkara itu.

Semalam, Lim mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Cina menggesa MCA meninggalkan BN kerana menurutnya Umno dan PAS "mengisytiharkan perang" terhadap golongan bukan muslim.

Selepas kenyataan itu dilapor media, sekitar pukul 10 malam semalam, Lim membuat pembetulan dengan menukar istilah "mengisytiharkan perang" kepada "menyasarkan".

Kedua-dua kenyataan itu dikeluarkan dalam bahasa Cina atas kapasitinya sebagai pemimpin DAP.

Lim berkata kerjasama Umno dan PAS dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands dan PRK Semenyih menyaksikan kedua-dua parti itu membuat kenyataan "ekstremis".

Beliau turut mendakwa PAS dan Umno melaga-lagakan antara orang Melayu dan kaum lain.

Susulan itu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki dijangka mengetuai sayap pemuda Umno, PAS, MCA dan MIC membuat laporan polis terhadap Lim berhubung perkara itu.

Sementara itu, Lim berkata, beliau tidak terkejut MCA membuat laporan polis terhadapnya dan mempersoalkan sama ada MCA akan mengambil tindakan sama terhadap PAS yang merupakan sekutu baru BN.

"Kenapa MCA berdiam diri ketika PAS dan Umno menyerang kerajaan kerana menyalurkan peruntukan kewangan untuk sekolah Cina?" katanya.

Lim turut mempersoalkan kenapa PAS dan Umno tidak mempertahankannya ketika MCA mengkritik kerajaan persekutuan yang memberi peruntukan kepada sekolah tahfiz.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS