Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lantikan MB baru: ADUN Sungai Manik nafi mengadap Sultan Perak

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharudin menafikan dakwaan kononnya beliau dipanggil menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi menggantikan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata dakwaan itu berniat jahat dan pada masa yang sama mahu merenggangkan hubungannya dengan Ahmad Faizal.

"Secara peribadi saya tidak ada tekanan dengan apa yang ditularkan termasuk yang terkini (kononnya) saya menghadap tuanku (untuk dilantik Menteri Besar), semuanya pada saya tidak benarlah.

"Kalau mendapat sesuatu berita ataupun perkara-perkara berkaitan dengan pentadbiran kerajaan negeri, adalah lebih baik ia dirujuk kesahihannya kepada individu yang berkenaan," katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di Ipoh, hari ini.

Sebelum ini, sebuah blog mendakwa Zainol Fadzi yang juga Penasihat Menteri Besar Perak, menghadap Sultan Nazrin bagi dilantik ke jawatan menteri besar.

Blog sama turut menegaskan lantikan itu dibuat kerana kononnya Ahmad Faizal gagal mentadbir kerajaan negeri dengan baik.

Sementara itu, ditanya mengenai pertemuan beliau dengan beberapa pemimpin dan wakil rakyat Barisan Nasional, Zainol Fadzi berkata perbincangan mereka hanya terarah kepada masalah dan isu rakyat di kawasan masing-masing.

“Saya tidak tahu dari mana isu (sertai BN) timbul," katanya.

Beliau berkata isu tersebut sengaja didendangkan bagi mencemar kredibiliti dan imej kerajaan negeri di mata rakyat.

"Saya rasa isu ini dimainkan semula kerana sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pun dah nak bermula kembali dan dengan adanya isu seumpama ini, ia diharap mampu menarik perhatian rakyat," katanya.


-- Bernama

Lihat Komen
ADS