Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kereta terbang kena 'troll', menteri tegur sikap rakyat Malaysia

Sikap rakyat terhadap idea inovasi seperti kereta terbang menyebabkan negara tidak dihormati, kata Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof.

Redzuan berkata jika dibandingkan di luar negara, rakyat mereka terbuka dengan pelbagai idea teknologi dari semua aspek.

"Salah satu sebab kenapa kita tidak menjadi sebuah negara yang dihormati sebab sikap kita.

"Katalah (tokoh fizik Albert ) Einstein datang dari Malaysia dan mungkin negara tak maju semaju hari ini sebab kita selalu mahu menidakkan idea-idea yang dibawa oleh usahawan.

"Ini idea bukan datang dari menteri. Idea datang dari usahawan," katanya pada sidang media bersama Dewan Peniaga Melayu Malaysia (DPMM) di Kementerian Pembangunan Usahawan, Putrajaya hari ini.

 Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai idea memperkenalkan kereta terbang di negara ini yang dijadikan bahan lawak di media sosial.

Ahli Parlimen Alor Gajah itu menjelaskan idea teknologi kereta terbang itu merupakan idea anak muda tempatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.

Katanya antara manfaat yang dapat diperoleh dari teknologi kereta terbang tersebut adalah dari segi keselamatan, pengawasan, kecemasan dan pengangkutan ketika bencana alam seperti banjir.

"Saya bagi contoh dalam masa terdekat dua atau tiga tahun. Hari ni dalam perbincangan kita, (membincangkan) kesusahan usahawan di Malaysia memantau dengan lambakan peniaga asing," katanya.

Beliau menjelaskan, ia melalui sistem pengecaman wajah berasaskan biometrik dan dihubungkan ke imigresen.

"Kita akan tahu sendiri sama ada mereka datang haram atau mereka ada lesen, dari situ penguatkuasaan boleh digunakan dengan kereta terbang.

"Kalau ada bencana alam - banjir nak hantar barang makanan dengan tidak boleh kita bawa kereta atau sampan di tempat terpencil.

"Kita boleh gunakan teknologi tadi untuk hantar bantuan dan boleh buat penyelamatan)," katanya sambil memberikan contoh lain.

Bagaimanapun, Redzuan berkata tidak wajar menyalahkan pihak yang mengkritik teknologi tersebut kerana mereka tidak mempunyai pemahaman dan pengetahuan yang jelas mengenainya.

Pada 26 Februari lalu, Bernama melaporkan Redzuan berkata kereta terbang pertama Malaysia akan dipacu oleh teknologi tempatan, dengan prototaip kereta itu sudah ada dan dijangka diperkenalkan tahun ini.

Beliau berkata pembangunan kereta terbang itu bakal menarik pelaburan luar dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya melibatkan bidang kejuruteraan.

Lihat Komen
ADS