Kabinet tidak dapat terima alasan Sarawak Tribune
Jemaah Menteri langsung tidak dapat menerima alasan yang diberikan oleh pihak pengurusan akhbar Sarawak Tribune kerana menyiarkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad, kata Menteri Penerangan Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
Jemaah Menteri langsung tidak dapat menerima alasan yang diberikan oleh pihak pengurusan akhbar Sarawak Tribune kerana menyiarkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad, kata Menteri Penerangan Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
Beliau berkata seluruh jemaah menteri rasa cukup malu kepada dunia luar ekoran tindakan akhbar itu, dan mereka memutuskan hukuman seberat-beratnya perlu dikenakan bukan sahaja kepada akhbar berkenaan tetapi juga kepada kakitangan yang terlibat yang kini dalam siasatan polis.
"Walau apapun penjelasan yang diberi kepimpinan Sarawak Tribune, jemaah menteri langsung tidak boleh menerimanya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Khas Menteri Penerangan bersama warga agensi dan jabatan di bawahnya dari Sabah dan Labuan di Kota Kinabalu hari ini.
"Kita tidak faham bagaimana orang yang mempunyai pelajaran boleh buat satu kesilapan yang begitu, lebih-lebih lagi di Malaysia, kerana dari hari pertama lagi kita merdeka, perkara yang paling penting ditekankan oleh Bapa Kemerdekaan Negara (Tunku Abdul Rahman) ialah tentang menghormati sensitiviti antara kaum, ugama dan budaya," katanya.
Beliau juga berkata ketiadaan Sarawak Tribune di Sarawak tidak bermakna penyebaran berita dan maklumat akan berkurangan kerana orang ramai masih lagi boleh mendapatkan berita daripada akhbar-akhbar lain dan juga radio serta televisyen.
Abdul Kadir berkata terdapat satu kecenderungan yang membimbangkan jemaah menteri iaitu tindakan sesetengah media, bahkan parti-parti politik tertentu, yang mencari populariti dengan memainkan isu-isu sensitif.
"Kita harap semua yang terlibat akan menghentikan perkara tesebut kerana rakyat ramai tak suka bab-bab itu. Jadi jangan mereka harap dengan dibangkitkan isu-isu sensitif ini mereka akan popular," katanya.
Beliau berkata walaupun mereka mungkin popular dengan beberapa kerat orang tetapi kebanyakan rakyat sekarang ini sudah biasa dengan cara hidup aman damai, dan menghormati antara sama lain, di samping tidak suka perkara-perkara yang sensitif di main-mainkan, " katanya.

