Mahkamah Rayuan menetapkan 20 Jun tahun ini untuk mendengar rayuan balu pendaki Gunung Everest, Sarjan M. Moorthy atau nama Islamnya Mohammad bin Abdullah, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mengebumikan suaminya mengikut adat Hindu pada Disember tahun lalu.

Penetapan tarikh itu dibuat di kamar oleh Pendaftar Mahkamah Rayuan Hasnah Mohd Hashim.

S Kaliammal mengemukakan rayuan itu menerusi syarikat peguam Messrs A Sivanesan & Co pada 24 Januari lalu dengan menyebut 50 alasan bagi menyanggah keputusan Hakim Datuk Md Raus Sharif pada 28 Disember 2005.

Antaranya, beliau mendakwa, Hakim Md Raus telah terkhilaf dalam keputusannya bahawa Mahkamah Tinggi Sivil tidak mempunyai bidangkuasa dan kompetensi untuk menentukan sama ada Moorthy telah meleuk Islam atau masih mengamalkan ajaran Hindu sehingga kematiannya.

Menurut laporan Bernama, pada 22 Disember, Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan bahawa Moorthy adalah seorang Islam dan membenarkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengebumikannya sebagai seorang Islam.

Hak penjagaan

Enam hari kemudian, Mahkamah Tinggi Sivil membuat keputusan ia tidak mempunyai kuasa untuk menentukan soal agama Moorthy kerana perkara itu telahpun diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

Selaras itu, Md Raus menolak enam permohonan Kaliammal, antaranya, untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa suaminya bukan seorang Islam tetapi seorang Hindu sebelum kematiannya pada 20 Disember tahun lalu.

Hari ini, Mahkamah Rayuan juga menetapkan 17 Julai tahun ini untuk mendengar permohonan oleh Dr M. Jeyaganesh yang memeluk Islam dan selepas itu, membawa dua anak lelakinya memeluk Islam, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi memberi hak penjagaan kedua-dua budak itu kepada isterinya yang bukan Islam.

Pada 20 Julai 2004, Hakim Datuk Faiza Thamby Chik membuat keputusan bahawa S Shamala, yang telah berpisah dengan Jeyaganesh, bertanggungjawab menjaga Saktiswaran, berumur empat tahun 10 bulan, dan Theiviswaran, berusia tiga tahun enam bulan.

Bagaimanapun, hakim itu berkata, Shamala tidak boleh mengajar agamanya kepada kedua-dua anaknya itu.