Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tadbir urus baik elak perangkap hutang dalam projek mega'

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa Ong Kian Ming berkata, dalah tidak adil untuk menyalahkan China semata-mata, berhubung dengan hutang yang ditanggung akibat daripada projek-projek berkaitan Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI).

Ini kerana, jelas Ong, projek mega berkenaan diluluskan oleh kerajaan negara masing-masing.

"Kerajaan China juga tidak mampu mengawal semua rundingan yang dibuat syarikat-syarikat yang terlibat dalam projek BRI," katanya ketika berucap semasa di Forum BRI di Kuala Lumpur hari ini.

Ong berkata demikian sebagai merujuk kebimbangan perangkap hutang yang ditimbulkan beberapa negara terlibat seperti Pakistan, Laos, dan Maldives berhubung projek infrastruktur yang dicadangkan di bawah BRI.

Di Malaysia, PH yang mengambil alih kerajaan dan sudah memerintah selama sembilan bulan setakat ini sudah menangguhkan projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) KL-Singapura dan kini sedang mengkaji semula Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

"Pelajaran daripada projek-projek BRI sebelum ini menunjukkan negara-negara terlibat perlu memperkukuhkan penilaian dan rangka kerja institusi mereka apabila meluluskan apa-apa projek infrastruktur yang besar.

"Untuk tujuan itu, asas kepada kejayaan sesebuah projek adalah tadbir urus yang baik dan proses perolehan yang telus," katanya.

Ong percaya isu berkenaan akan ditangani dalam sidang kemuncak BRI kedua yang akan diadakan di Beijing bukan depan oleh China dengan naratif barunya.

Ong juga menegaskan keperluan menumpukan pada pentadbiran yang baik untuk membasmi rasuah, dan komitmen dalam memastikan kelestarian alam sekitar serta mempromosikan inklusiviti.

Selain itu, ahli parlimen Serdang itu mengulangi pendirian Malaysia untuk terus mengalu-alukan BRI serta pelaburan China.

Beliau berkata sokongan itu terus diberikan walaupun Malaysia mengadakan kajian semula ke atas projek-projek membabitkan China seperti ECRL.

"Kajian ECRL adalah disebabkan oleh kos dan kekurangan ketelusan dalam rundingan oleh kerajaan terdahulu.

"Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah menegaskan bahawa ECRL hanya akan diteruskan selagi kos terbabit berada dalam lingkungan kemampuan kewangan kerajaan," katanya.

Lihat Komen
ADS