Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mat Sabu harap lebih ramai Cina sertai tentera
Diterbitkan:  Mar 9, 2019 9:09 AM
Dikemaskini: 3:42 AM

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata angkatan tentera tidak mengamalkan diskriminasi dan mana-mana anggotanya yang menunjukkan prestasi yang baik akan mendapat ganjaran setimpal.

Bercakap dalam dialog bersama Sinar Harian, Mohamad setuju dengan pengacara Johan Jaafar bahawa kurangnya keanggotaan dari kalangan bukan Melayu dalam angkatan tentera.

"Kita terus kempen. Kita tahu kebelakangan ini agak tinggi yang sertai terutama di kalangan keturunan India, tetapi di kalangan keturunan Tiong Hua (saya) harap lagi ramai akan sertai (tentera).

Katanya, anggota yang berdisiplin dan gigih akan maju dalam kerjaya tenteranya dan beliau melihat sendiri perkara itu sejak mengetuai kementerian itu.

"Tiap-tiap bulan dalam mesyuarat saya lihat kenaikan pangkat berlaku dalam semua kaum.

"Saya harap semua dapat sertai ATM...Tanggungjawab keselamatan bukan (digalas) satu kaum sahaja, ia untuk rakyat Malaysia." katanya lagi.

Berkenaan beberapa cabaran yang dihadapi tentera, Mohamad berkata perumahan dan berek merupakan isu besar bagi anggota dan usaha untuk menambah baik keadaan itu sedang berjalan.

Beliau setuju dengan Johan bahawa kerajaan persekutuan pada masa ini berdepan kekangan kewangan namun berkata lebih banyak dana akan diberikan apabila keadaan ekonomi bertambah baik.

"Dalam mesyuarat kabinet kita diberi penerangan oleh kementerian perdagangan antarabangsa dan industri tentang pelaburan luar yang mula meningkat, dan kita harap perkembangan ekonomi akan berterusan dalam beberapa tahun akan datang, maka peruntukan untuk ATM termasuk RKAT (Rumah Keluarga Angkatan Tentera) akan bertambah," katanya lagi.

Johan kemudian berkata trak tentera masih digunakan untuk menghantar anak-anak tentera ke sekolah dan bertanya apa yang boleh dilakukan oleh Mohamad berkenaannya.

Mohamad mengakui ia masih berlaku di sesetengah kawasan. "Kami akan menambah baik dari masa ke masa untuk digantikan dengan kenderaan yang lebih selesa."

Beliau memaklumkan perbelanjaan tentera Malaysia adalah "sederhana" berbanding banyak negara lain dan ia akan ditambah pada masa depan apabila negara mampu melakukannya.

Beliau bagaimanapun berkata tentera sentiasa bersedia walaupun negara dalam keadaan aman.

Kerjasama Umno-PAS

Mengulas soal politik, Mohamad setuju dengan kenyataan Johan bahawa Pakatan Harapan (PH) kini dalam keadaan bertahan. Beliau bagaimanapun yakin PH akan dapat keluar daripada keadaan itu tak lama lagi.

Beliau juga menyingkap kerjasama politik PAS - parti yang pernah disertainya selama hampir empat dekad - sejak era 1970-an.

Katanya, pada 1970-an PAS mengadakan muktamar khas untuk membahaskan cadangan menyertai kerajaan campuran pimpinan Tun Abdul Razak, dan perbincangan sama diadakan sebelum ia bekerjasama dengan Semangat 46 dan Barisan Alternatif pada 1990-an.

"Paling sukar adalah kerjasama dengan DAP (pada 2008). Ada ulama setuju, ada yang tidak. Kami bincang, buat mesyuarat dan retreat. Akhirnya keputusan diambil - harus bertahaluf dengan DAP."

Kesemua itu, katanya, berbeza dengan pendekatan yang diambil parti itu untuk bekerjasama dengan Umno sejak beberapa tahun kebelakangan.

"Apa yang menghairankan saya kenapa dengan Umno, bermain dalam gelap? Itu saja.

"Saya sebagai timbalan presiden (ketika itu) tak tahu, ketua penerangan Mahfuz Omar dan naib presiden Husam Musa tak tahu. Tiba-tiba kita lihat suasana sudah jadi lain," katanya lagi.

Untuk rekod, Mohamad merupakan salah seorang daripada ramai pemimpin dan anggota PAS yang keluar parti pada 2015 untuk menubuhkan Amanah yang kini merupakan salah satu parti pemerintah.

Lihat Komen
ADS