Spura berhenti terima pasport terhad Msia mulai 1 Julai
Berkuat kuasa 1 Julai tahun ini, Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan Singapura (ICA) akan berhenti menerima Pasport Terhad Malaysia (MRP) sebagai dokumen perjalanan sah.
Berkuat kuasa 1 Julai tahun ini, Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan Singapura (ICA) akan berhenti menerima Pasport Terhad Malaysia (MRP) sebagai dokumen perjalanan sah.
Langkah itu susulan kepada keputusan Malaysia yang berhenti mengeluarkan dan memperbaharui MRP pada Januari tahun lepas. Malaysia juga mengisytiharkan dokumen perjalanan itu tidak sah untuk perjalanan selepas 31 Disember tahun ini.
"Selaras dengan amalan antarabangsa yang mensyaratkan semua dokumen perjalanan perlu mempunyai tempoh sah sekurang-kurangnya enam bulan sebaik tiba, ICA akan berhenti menerima MRP sebagai dokumen perjalanan sah ke Singapura berkuat kuasa 1 Julai," menurut ICA dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, warga Malaysia yang berhasrat berkunjung ke Singapura atau mereka yang berhasrat memohon bagi sebarang kemudahan imigresen pada dan selepas 1 Julai akan dikehendaki menggunakan pasport antarabangsa Malaysia yang sah.
Penduduk tetap Singapura dan pemegang pas jangka panjang yang kini memegang MRP juga perlu membuat pengesahan terhadap permit kemasukan atau pas MRP mereka untuk dipindahkan ke dalam pasport antarabangsa mereka.
Pemeriksaan ketat
Menurut laporan Bernama, Malaysia memutuskan untuk berhenti mengeluarkan MRP, yang diperkenalkan 37 tahun lalu, selepas mengesan beberapa kes pemalsuan pada dokumen itu.
Sementara itu, ICA turut mengumumkan akan menjalankan pemeriksaan terperinci di pusat pemeriksaan.
"ICA kini menjalankan pemeriksaan 100 peratus ke atas individu, kargo dan kenderaan yang melalui pusat pemeriksaan kami. Pemeriksaan terperinci ini didapati efektif dalam membantu mengesan kes penyeludupan barangan haram dan pendatang tanpa izin," katanya.
ICA menyatakan ia menyedari hakikat bahawa pemeriksaan akan mengambil masa dan sentiasa berusaha memastikan aliran trafik di pusat pemeriksaan berjalan lancar.
Pelawat boleh membantu mengurangkan kesesakan dengan memastikan mereka tidak membawa barangan yang dilarang dibawa masuk ke Singapura atau merancang perjalanan mereka dan mengelakkan waktu puncak seboleh mungkin, kata ICA lagi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.