Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS pamer wajah berbeza di Pantai Barat, Timur
Diterbitkan:  Mar 11, 2019 12:10 PM
Dikemaskini: 4:10 AM

Sekiranya benar ada cadangan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan (UG), PAS mesti berterus terang kepada anggotanya mengenai rancangan mereka dengan rakan baru parti itu, kata Pengerusi Amanah Terengganu Raja Bahrin Shah Raja Ahmad.

Kata Raja Bahrin ketika ini PAS menampakkan dua wajah berbeza terhadap Umno di depan penyokong masing-masing.

Katanya PAS menunjukkan mereka begitu mesra dengan Umno di negeri Pantai Barat namun tidak begitu di Terengganu dan Kelantan.

Lebih-lebih lagi, katanya, kenyataan mengenai UG itu dibuat oleh pemangku presiden Umno, Mohamad Hasan, dan tentu ia bukan diperkatakan sembarangan.

Malah katanya, kenyataan Mohamad itu membayangkan seolah-olah rundingan terperinci telah berlangsung di antara Umno dan PAS.

“Di pantai barat PAS berkerja secara terbuka dengan Umno di PRK Cameron Highlands dan Semenyih, sementara di Terengganu dan Kelantan, mereka masih banyak berselindung kerana takut penyokong lari.

“Sementara pimpinan PAS di Pantai Timur menyerang DAP atas isu PAS bersama Umno, naib Presiden PAS, Iskandar Samad dari Selangor pula menyatakan PAS tidak akan mengabaikan penyokong Cina mereka,” katanya.

Kini musuhi semua kecuali Umno

Semalam, Iskandar bersetuju dengan presiden MIC, SA Vigneswaran yang mempersoalkan kenapa hanya DAP yang boleh bekerjasama dengan PAS (ketika dalam Pakatan Rakyat) dan bukan MIC. 

Mengulas mengenai kenyataan Iskandar itu, Raja Bahrin mengingatkan endirian PAS kini dengan semasa zaman Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat dahulu sangat berbeza.

“Apa yang perlu kita ingat, kerjasama (dengan DAP) itu semasa Mursyidul Am PAS ialah Tok Guru Nik Aziz.

"Semasa itu PAS berbaik dengan semua pihak kecuali dengan Umno-BN.

“Sekarang sudah berubah dengan drastik apabila PAS hanya berbaik dengan Umno dan bermusuh dengan semua pihak lain. Itulah perbezaan besarnya,” jelasnya lagi.

Timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu turut mempersoalkan sikap berselindung PAS kepada penyokongnya di Terengganu dan Kelantan selepas mereka yang banyak menderita akibat kezaliman Umno.

“Adakah kerana luka lama dari kezaliman Umno di Pantai Timur terlalu parah dan mendalam untuk dilupa oleh anggota PAS di Terengganu dan Kelantan?

“Kenapa PAS masih berselindung kepada penyokong setia yang lama menderita di bawah Umno yang telah menyebabkan timbulnya isu kafir-mengkafir dan sembahyang dua imam?” soalnya.

Malah, jelas Raja Bahrin, Nik Aziz sendiri pernah menentang keras cadangan UG dengan Umno yang dipelopori oleh bekas timbalan presiden PAS ketika itu, Nasharuddin Mat Isa.

“Tidak hairanlah kita apabila SPRM telah menyiasat Nasharuddin alam isu tuduhan PAS menerima wang dari Umno.

“Nampaknya Nasharuddin telah memainkan peranan utama mempunyai dua wajah di dua belah pihak ahli PAS dan Umno dalam isu kerajaan bersama yang tidak di restui Tok Guru Nik Aziz.

“Persoalan utama sekarang, adakah PAS juga mempunyai dua wajah kepada ahli serta penyokong mereka?” soalnya lagi.

Empat negeri yang dikatakan akan terlibat dalam kerajaan UG tersebut ialah Terengganu, Kelantan, Pahang dan Perlis.

Lihat Komen
ADS